Warisan sedia kerjasama dengan gabungan politik menang PRU15

Politics
27 Jun 2022 • 4:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Warisan (Warisan) sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat negara ini, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar).

Ahli Parlimen Semporna itu berkata ini kerana pihak yang menang pada PRU15 merupakan parti pilihan rakyat, justeru Warisan menghormati keputusan tersebut dengan menjalin kerjasama menguntungkan kepada rakyat di peringkat Persekutuan dan juga Sabah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persefahaman yang dibentuk itu mestilah sebuah kerjasama pintar serta tidak berat sebelah dan paling penting, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Sama ada Barisan Nasional, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (menang PRU15), bila rakyat sudah buat keputusan, kita kena hormat... kita tidak boleh menafikan hak rakyat di negara ini tetapi saya tolak Langkah Sheraton, lompat sana lompat sini kerana itu bukan mandat yang diberikan rakyat.

“Selepas pilihan raya, rakyat putuskan… nakkan kestabilan politik tetapi mesti ada kerjasama pintar,” katanya menerusi sesi perkongsian secara langsung dalam talian di laman Facebook.

Mohd Shafie menjawab soalan seorang peserta sesi itu yang ingin tahu sama ada Warisan mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan sekiranya gabungan politik itu memenangi PRU15 dalam sesi perkongsian bertajuk Gabungan dan Pakatan: Demi Rakyat atau Demi Poket.

Beliau turut menegaskan langkah Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung tidak akan mengganggu-gugat perjuangan asal parti itu untuk membela rakyat dan negeri Sabah.

“Kita mesti bergabung dengan seluruh Malaysia… Presidennya (Warisan) dari Sabah tetapi isterinya orang Kedah.

“Kita sedang membina sebuah negara... sudah berpuluh tahun gabungan politik berpecah-pecah, mungkin perlukan angin dari timur (untuk satukan),” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.