Warisan TC jangka raih keuntungan bersih RM1.85 juta hasil penjualan hartanah industri di Selangor

17/07/2025 - 12:55
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Warisan TC Holdings Bhd (WTCH) menjangkakan keuntungan bersih sebanyak RM1.85 juta hasil daripada penjualan hartanah industri miliknya di Selangor kepada Leisure Event Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh pemaju hartanah Avaland Bhd, dengan nilai transaksi RM49 juta.
Pada 1 Julai lalu, WTCH telah menjual hartanah tersebut yang terletak di Petaling Jaya sebagai langkah untuk membuka nilai aset dan mengukuhkan modal kerja kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, WTCH berkata, hasil daripada penjualan itu akan digunakan bagi tujuan modal kerja, termasuk perolehan inventori dalam urusan perniagaan biasa (RM38.24 juta), perbelanjaan modal (RM9 juta), serta kos pelupusan dan cukai berkaitan (RM1.76 juta).
Transaksi itu dilaksanakan melalui anak syarikat WTCH yang dimiliki 75.5 peratus, Comit Communication Technologies (M) Sdn Bhd (CCT), yang telah memeterai perjanjian jual beli dengan Leisure Event.
WTCH turut memaklumkan nilai buku bersih hartanah berkenaan adalah sebanyak RM45.4 juta, berdasarkan penyata kewangan teraudit CCT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com
standard
