Warisan ulangi kebimbangan kemungkinan harga beras naik

18 Aug 2023 • 4:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Warisan pada Khamis mengulangi kebimbangan mereka mengenai kemungkinan Sabah mengalami kenaikan harga beras berikutan keputusan pengeksport beras utama Asia, Vietnam dan India untuk menghadkan eksport beras mereka serta pengurangan hasil padi disebabkan oleh fenomena El Nino yang dijangka akan melanda Asia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku, Assaffal Bin P. Alian, berkata Menteri-menteri GRS mempunyai kewajipan untuk menyatakan kepada rakyat Sabah rancangan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan impak kenaikan tersebut (jika ianya berlaku) dan pada masa sama, memperhebatkan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk mencegah aktiviti penyorokan dan penyeludupan beras.

“Saya percaya Menteri-menteri GRS telahpun mengetahuinya bahawa Filipina sedang mengalami kenaikan harga beras ketika ini yang mendorong kepada peningkatan kadar inflasi beras tempatan mereka kepada 4.2 peratus (Julai) yakni kenaikan terpantas sejak 2019 dan ini memberi petunjuk bahawa negara tersebut sedang berusaha untuk meningkatkan simpanan beras mereka - kenaikan harga seperti inilah yang menjadi kebimbangan kepada Warisan sejak dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau menambah, mereka maklum bahawa Kerajaan Negeri telah mengumumkan beberapa strategi bagi mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) 60 peratus termasuk menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS), antara lain.

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Tetapi apa yang kita mahu tahu ialah sementara kita menunggu semua strategi ini membuahkan hasil, apakah rancangan jangka pendek yang telah disediakan oleh GRS untuk memastikan harga beras, terutamanya beras hancur 5 peratus, kekal pada tahap sekarang untuk jangkamasa 6 hingga 12 bulan akan datang dan bagaimana mereka akan memantau pelaksanaan rancangan tersebut?” katanya dalam kenyataan itu.

“Sebarang kenaikan harga beras yang ketara di Sabah juga akan menyebabkan pengusaha restoran, kedai kopi dan gerai yang menyediakan ‘nasi ekonomi’ berada dalam keadaan lebih tenat memandangkan mereka sekarang pun sudah terkesan akibat kenaikan harga daging khinzir, ayam dan ikan, ketidaktentuan harga pasaran sayur-sayuran serta kos perniagaan yang tinggi.

“Sekiranya kenaikan harga beras ini berlaku, maka mereka tidak akan mempunyai pilihan lain selain memindahkan kos tambahan itu kepada pelanggan mereka atau berdepan risiko menutup perniagaan.

“Jangan kita lupa bahawa kebanyakan pengusaha-pengusaha ‘nasi ekonomi’ ini menyediakan makanan dengan harga yang berpatutan untuk pelajar dan tenaga buruh kita yang tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan sendiri di rumah. Jika mereka (pengusaha ‘nasi ekonomi’) menutup perniagaan, siapa yang akan menyediakan makanan ini?” soalnya.

Beliau menambah, Shafie Apdal (Presiden Warisan) telah menguruskan ‘ekonomi rakyat’ dengan baik sekali semasa beliau menjadi Ketua Menteri berikutan dengan penurunan kadar inflasi di negeri ini bagi sektor makanan dan minuman dengan catatan 1.0 peratus (2018), 0.5 peratus (2019) dan 0.2 peratus (2020) tetapi mulai meningkat apabila GRS mengambil-alih tampuk pentadbiran pada kadar 0.6 peratus (2021) dan seterusnya melonjak kepada 5.1 peratus pada 2022.

“Bagi subkategori beras, roti dan bijirin, kadar inflasi yang biasanya berada dalam keadaan malar yakni kurang daripada satu peratus dengan catatan 0.8 peratus (2018), 0.3 peratus (2019), 0.7 peratus (2020) dan 0.3 peratus (2021) telah melonjak kepada 2.8 peratus pada 2022,” katanya.

Assaffal berkata, mereka (Warisan) amat risau dengan statistik-statistik itu yang dibuktikan dengan aduan dan kemarahan rakyat Sabah di seluruh negeri berhubung ketidakcekapan GRS dalam menguruskan ekonomi rakyat serta pentadbiran negeri dan sebagai wakil rakyat.

“Kami mempunyai kewajipan untuk bertanyakan apakah rancangan jangka pendek GRS mengenai kemungkinan kenaikan harga beras ini,” tegasnya sebelum menambah, orang ramai masih ingat bagaimana Menteri-menteri GRS bertindak dengan perlahan ketika masalah kekurangan minyak masak, gula dan telur serta harga daging dan ayam yang melambung tinggi melanda negeri ini tahun lalu.

“Ini perlu dijadikan iktibar agar kita bertegas dengan mereka kerana jika tidak, mereka tidak akan berbuat apa-apa,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata, GRS tidak seharusnya menunggu sehingga kenaikan harga beras benar-benar berlaku di negeri ini sebaliknya menunjukkan komitmen mereka untuk menjaga kebajikan rakyat Sabah dengan memulakan perundingan dengan pengeluar-pengeluar di seluruh Asia untuk mendapatkan bekalan beras pada harga yang terbaik.

“Kerajaan Negeri pimpinan GRS sebenarnya boleh menghantar agensi yang berkaitan untuk mencari dan mendapatkan bekalan beras paling murah dan saya tidak nampak masalah untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk perkara ini daripada Kerajaan Persekutuan.

“Malah, ini perlu dilakukan untuk mengelakkan pihak di peringkat tertinggi daripada menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengaut keuntungan dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengimportan beras ke dalam negeri ini sekiranya krisis bekalan terjadi.

“Dan pada masa ini, Kerajaan Negeri juga sepatutnya telahpun memulakan pengawasan, pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk mencegah penyorokan dan penyeludupan beras memandangkan kedua-dua aktiviti ini telah disebut berulang kali pada masa lalu sebagai punca kekurangan minyak masak dan gula bersubsidi di Sabah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.