Warner Bros. Discovery (WBD), konglomerat media gergasi dari Amerika Syarikat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka akan memisahkan perniagaan syarikat tersebut kepada dua bahagian sekitar pertengahan tahun hadapan.
Ini bermakna bahawa dibawah WBD, dua buah syarikat akan ditubuhkan, yang akan bertanggungjawab untuk dua segmen rangkaian yang berbeza. Kedua-dua syarikat ini dinamakan Streaming & Studios dan Global Networks, dan akan hadir dengan pasukan pengurusan mereka sendiri, yang akan membantu WBD memberi entiti-entiti berbeza ini fokus dalam membangunkan dua industri yang berkaitan, tetapi berbeza.
Streaming & Studios akan diketuai oleh David Zaslav, presiden dan CEO WBD. Syarikat ini akan bertanggungjawab untuk operasi dan pembangunan bisnes penstriman, studio filem dan pembangunan permainan video termasuklah HBO, HBO Max, Warner Bros. Television, Warner Bros. Motion Picture Group, DC Studios, dan Warner Bros. Games.

Global Networks pula akan dilarikan oleh Gunnar Wiedenfels, Ketua Pegawai Kewangan WBD, dan akan bertanggungjawab untuk rangkaian-rangkaian berita dan sukan seperti CNN, TNT Sports, Discovery, Bleacher Report, dan perkhidmatan penstriman Discovery+.
Pemisahan platform-platform ini sudahpun bermula, dan dijangka akan lengkap sekitar pertengahan tahun 2026. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi jika perubahan ini akan menyebabkan beberapa perkhidmatan penstriman, seperti HBO Max untuk bertukar nama lagi sekali. HBO Max kini ditawarkan di 77 buah negara, dan dijangka akan menambahkan lagi penawaran ke negara-negara lain pada tahun hadapan.
Rangkaian-rangkaian Global Networks pula disiarkan di lebih 200 negara di seluruh dunia dan ditonton oleh lebih 1 bilion orang penonton. Syarikat tersebut akan memfokuskan kepada penambahan kandungan, termasuklah penyiaran berita antarabangsa, kandungan siaran langsung dan sebagainya.
Untuk menyokong penambahan-penambahan ini, WBD dilaporkan akan menyalurkan dana sebanyak $17.5 bilion kepada kedua-dua syarikat ini. Global Networks juga dilaporkan akan memiliki pegangan saham 20 peratus keatas Streaming & Studios.




