
Warong Pok Nong Celup Tepung Ditutup Sementara
Warung makanan laut celup tepung yang terkenal di Terengganu, Warong Pok Nong Celup Tepung, sememangnya destinasi wajib bagi peminat makanan laut.
Sudah beroperasi lebih dua dekad, warung di Jalan Pantai, Kampung Telipot itu popular dengan menu istimewanya, termasuk ikan celup tepung, sotong celup tepung dan udang celup tepung.
Bukan itu sahaja, pelanggan turut menikmati keropok lekor goreng, ketupat sotong serta pulut mangga sebagai hidangan sampingan.
Bagaimanapun, pihak warung baru-baru ini mengumumkan penutupan sementara operasi perniagaannya bermula 13 hingga 15 Januari atas faktor keselamatan.
“Insya-Allah, Khamis akan buka seperti biasa,” maklum pihak warung menerusi satu hantaran di TikTok @warong.poknong.ict.
Penutupan ini dipercayai berkaitan dengan keadaan cuaca buruk dan hakisan pantai yang semakin meruncing di kawasan tersebut.
Hakisan pantai makin membimbangkan
Dalam laporan terkini, hakisan pantai di Terengganu semakin merebak sehingga menjejaskan laluan jalan raya di Batu Rakit, Kuala Nerus.
Dua jalan utama, iaitu di Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung, telah ditutup sepenuhnya sejak Sabtu lalu.
Hakisan tersebut menyebabkan laluan runtuh akibat dibadai ombak besar dan angin kencang.
Pihak berkuasa telah menyediakan jalan alternatif yang boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan sementara menunggu keadaan kembali pulih.
Difahamkan, penutupan jalan ini diambil sebagai langkah keselamatan untuk melindungi pengguna jalan raya daripada sebarang insiden tidak diingini.
Sumber: TikTok @warong.poknong.ict, Astro Awani
The post Warong Pok Nong Celup Tepung Ditutup Sementara appeared first on Siakap Keli.
