Warta segera cuti 15 September, elak kerugian sektor pembuatan: FMM

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2025 • 3:10 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) menggesa cuti umum tambahan 15 September diwartakan segera bagi membolehkan perniagaan merancang operasi, penjadualan tenaga kerja dan memastikan pematuhan Akta Kerja 1955.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sektor pembuatan sangat sensitif terhadap pengisytiharan cuti saat akhir disebabkan garis masa pengeluaran yang berjadual padat, komitmen eksport dan peralihan buruh.

Katanya, mengisytiharkan 15 September sebagai hari cuti mewujudkan gangguan selama empat hari bagi banyak pengeluar, meliputi Sabtu hingga Selasa untuk operasi berasaskan syif dan berterusan.

"Berdasarkan anggaran lalu, setiap tambahan cuti umum yang tidak dirancang boleh mengakibatkan sehingga RM1 bilion dalam produktiviti dan kerugian keluaran bagi sektor pembuatan saja.

"Kesannya amat teruk bagi industri berorientasikan eksport dan industri yang mempunyai proses berterusan seperti keluli, pemprosesan makanan dan bahan kimia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Thian Lai berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya, akan menghadapi cabaran dalam menyerap kos itu atau menguruskan kerja lebih masa dan syif gantian.

Beliau berkata, FMM menekankan bahawa pengumuman dasar mesti mencerminkan kejelasan, konsistensi, kepastian dan kredibiliti.

Justeru, tegasnya, pengisytiharan cuti 'ad hoc' yang kerap tidak memberi petanda baik bagi negara yang berusaha mencapai status negara berpendapatan tinggi dan meletakkan diri sebagai destinasi yang kompetitif, boleh dipercayai dan menarik untuk pelaburan.

"Pelabur dan pembeli global memerlukan kebolehjangkaan dan kestabilan. Perubahan mendadak yang mengganggu pengeluaran dan komitmen rantaian bekalan berisiko menjejaskan daya saing Malaysia,

“Terutamanya apabila negara bekerja keras untuk mendapatkan peluang rantaian bekalan global dan pelaburan bernilai tinggi.

"Walaupun FMM menghargai semangat menyambut Hari Malaysia, kami sangat menggesa kerajaan untuk menyegerakan pewartaan rasmi untuk memberikan kejelasan undang-undang segera dan membolehkan perniagaan mengurus risiko operasi dengan berkesan," katanya.

FMM juga menasihatkan majikan untuk memantau warta rasmi sebaik saja dikeluarkan untuk mengesahkan kewajipan pematuhan, dan mempertimbangkan untuk menggunakan pilihan penggantian di bawah Akta Pekerjaan 1955 jika diwartakan di bawah Seksyen 8.

“Majikan juga harus melaraskan jadual pengeluaran lebih awal untuk mengurus inventori atau tarikh akhir, sambil mengekalkan komunikasi yang jelas dengan pihak berkepentingan mengenai perubahan operasi,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan pada 15 September 2025 sempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Menerusi pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia pada Rabu, Anwar memaklumkan, hari kelepasan am itu untuk meningkatkan usaha pelancongan tempatan dan memberi masa serta ruang lebih baik untuk menikmati bersama keluarga. - 24 Julai, 2025