Wartawan Atau Pesalah? Tiada Siapa Kebal

LocalPolitics
8 Mar 2025 • 4:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Tarikh 6 Mac 2025 menjadi satu bukti bahawa sesiapa pun tidak boleh lari daripada pengadilan undang-undang bilamana Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhir seorang bekas penolong pengurus akhbar berbahasa Inggeris The Star kerana didapati bersalah menerima suapan RM20,000, kononnya untuk diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan untuk menutup kesnya.

Beliau telah menerima hukuman penjara 10 bulan dan denda RM100,000.

Saudara Pengarang,

Saya tidak mahu mengulas panjang kes ini dan carian kes ini boleh dibuat menerusi pelayar web umum dan kes ini menjadi bukti bahawa undang-undang perlu ditegakkan tanpa mengira sesiapa.

Dan terbaharu, industri media dikejutkan dengan tangkapan seorang wartawan portal berita tempatan Inggeris oleh SPRM kerana menerima wang rasuah RM20,000 dalam satu perangkap yang dipasang oleh SPRM, menurut kenyataan SPRM.

Sebagai rakyat yang cakna isu rasuah, berita ini menarik minat saya kerana naratif yang dimainkan oleh sesetengah pihak seolah-olah wartawan ini menjadi mangsa penganiayaan SPRM, sedangkan hakikatnya beliau ditangkap kerana menerima wang sogokan untuk tidak menerbitkan laporan tentang pengadu yang didakwanya terkait dengan sindiket migran.

Kes ini wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas, di mana tidak ada individu yang boleh terkecuali daripada undang-undang jika mereka terlibat dalam rasuah. 

Kebebasan media adalah elemen penting dalam sebuah negara demokratik, tetapi ia tidak boleh digunakan sebagai perisai untuk melindungi mereka yang menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.

SPRM mempunyai tanggungjawab untuk membanteras rasuah tanpa mengira status atau latar belakang individu yang terlibat. Sebarang dakwaan bahawa SPRM bertindak tidak adil dalam kes wartawan ini harus dilihat dengan rasional dan berpandukan kepada fakta.

Kes ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak, khususnya mereka dalam bidang media. Rasuah tidak mengenal siapa – sesiapa sahaja yang bersalah, sama ada wartawan atau pegawai kanan akhbar, perlu dikenakan tindakan yang setimpal.

Saya berharap masyarakat dapat melihat isu ini dengan objektif dan memahami bahawa usaha membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama.

Apa-apapun, saya serahkan kes ini kepada undang-undang supaya keadilan dapat ditegakkan dan harap juga ia menjadi tauladan kepada wartawan serta agensi-agensi media. 

Ini kerana, yang mendapat imej buruk sudah pastilah syarikat agensi media itu sendiri.

Ahmad Akmal,

Selangor