
PUTRAJAYA: Dua wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Radio mengungguli dua kategori pada hari pertama Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam ini.
Mohd Hirzee Mohamad memenangi kategori Buletin Radio Terbaik menerusi saluran Bernama Radio dalam program Utama Waktu Ini.
Kategori Liputan Berita Radio Terbaik pula dimenangi Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil menerusi saluran Bernama Radio dalam program Lintas Langsung Tinjauan Pasca Banjir Sungai Telemong.
Kesemua pemenang membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM5,000.
Drama Bersiri TV Terbaik dimenangi Dukun Diva oleh Khaled Novel menerusi saluran Astro Citra yang membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM8,000.
Anugerah Khas Juri diberikan kepada Ahmad Noor Sulaiman bagi program Halaqah Episod (7) bertajuk Bencana, Muhasabahkah kita? yang disiarkan oleh TV3 dan beliau membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai RM8,000.
Anugerah Khas Juri dipilih susulan kejayaan rancangan itu yang berbentuk keagamaan serta mampu memberi impak besar kepada masyarakat dan ia disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.
Sementara itu, Mohd Hirzee ketika mengulas kemenangannya berkata ia membuktikan berita di Bernama Radio diiktiraf sebagai yang terbaik.
“Alhamdulillah, ini adalah kemenangan pertama saya selepas 15 tahun di Bernama Radio... walaupun saingan cukup sengit tapi saya bersyukur kerana menang,” katanya kepada Bernama.
Anugerah berprestij itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penggiat seni tempatan antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Ahmad Daud dan Wany Hasrita.
Program dua hari bertemakan ‘Kemuncak Kecemerlangan’ itu menyaksikan hadiah bagi pemenang 38 kategori disampaikan malam ini. -Bernama

