
KOTA KINABALU - Kehadiran orang awam yang bukan daripada kalangan wartawan atau petugas media berdaftar membuat liputan sidang media kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menimbulkan kegusaran, termasuk wartawan wanita.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil berkata, pihaknya memandang serius perkembangan terkini berkaitan gangguan terhadap pengamal media sepanjang liputan kes tersebut.
**media[3243145]**
Menurutnya, SJA mengambil perhatian serius berhubung laporan gangguan yang berlaku semasa sidang media sebutan kes inkues Zara di mahkamah baru-baru ini.
"Terdapat individu yang tidak dikenali dan bukan dalam kalangan wartawan agensi media yang berdaftar turut berada bersama petugas media yang berkumpul untuk membuat liputan sidang media.
"Dua wartawan wanita mengadu kedudukan badan individu terbabit terlalu rapat sehingga menyentuh mereka.
"Justeru, pihak SJA mahu aspek penguatkuasaan yang lebih ketat untuk melindungi wartawan yang bertugas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, turut dikesan berlaku gangguan kandungan media dipercayai bermotifkan keuntungan sepanjang liputan kes tersebut.
"Terdapat individu bukan petugas media sebenar mengganggu semasa liputan kes ini dengan memasuki zon media dan membuat penstriman langsung yang sepatutnya untuk orang ramai, tapi dijadikan sebagai cara untuk memperoleh keuntungan wang.
"Tindakan sedemikian menjejaskan kerja hakiki wartawan dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam," katanya.
Mariah menambah, terdapat juga unsur penyebaran maklumat salah, termasuk laporan tidak tepat mengenai prosiding undang-undang yang disebarkan secara meluas oleh sumber tidak disahkan.
"Akses kepada sidang media sepatutnya mengutamakan media berdaftar untuk memastikan laporan yang tepat," katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan pihak berkuasa memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah, termasuk melarang rakaman sekiranya tidak dibenarkan, bagi mengelakkan gangguan terhadap media berdaftar.
"Pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah dan melarang rakaman jika tidak dibenarkan untuk mengelak agar akses kepada media berdaftar tidak terjejas.
Sehubungan itu, katanya, SJA menggesa semua pihak menghormati piawaian kewartawanan serta tuntutan undang-undang.
"Setiap laporan yang bertanggungjawab bukan disensasikan, tetapi yang terbaik untuk kepentingan dan keadilan awam," tegasnya.
Lagi artikel berkaitan:

