Wartawan MYBERITA dirawat di Hospital Rembau, jangkitan kuman pada paru-paru

LocalHealth & Fitness
3 Mar 2026 • 5:14 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

REMBAU – Seorang wartawan MYBERITA, Raihan Hazizi, kini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Rembau selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, sejak semalam.

Menurut ibunya, keadaan Raihan sebelum ini agak membimbangkan apabila paras oksigen dalam badan dilaporkan menurun sehingga 60 peratus, sekali gus memerlukan pemantauan rapi pasukan perubatan. Beliau turut dilaporkan mengalami sesak nafas dan keletihan.

Sementara itu, Ketua Pengarang Berita MYBERITA, Adam Hafiz Ahmad, meluangkan masa menziarahi di hospital tengah hari tadi. Dalam lawatan tersebut, beliau turut menghulurkan buah tangan sebagai tanda sokongan moral selain menyampaikan kata-kata semangat agar terus kuat menghadapi ujian kesihatan.

“Ketika ditemui hari ini, keadaannya dilaporkan stabil namun masih memerlukan bantuan oksigen dan rawatan susulan. Pihak hospital turut menasihatkan agar beliau berehat sepenuhnya bagi mengelakkan komplikasi lanjut” katanya.

Difahamkan, doktor sedang menjalankan pemeriksaan lanjut berikutan terdapat kemungkinan jangkitan tersebut mempunyai kaitan dengan penyakit tibi. Bagaimanapun, keputusan rasmi ujian makmal masih belum diperoleh setakat ini.

Adam berkata, pihak pengurusan MYBERITA sentiasa mengambil berat kebajikan kakitangannya dan berharap agar segera sembuh serta dapat kembali bertugas seperti biasa.