
KEWARTAWANAN penyiasatan merupakan cabang bidang kerja yang memerlukan keberanian, ketelitian dan tidak gentar menelusuri rahsia golongan berkuasa.
Dalam bidang ini, seorang wartawan veteran akhbar The Washington Post, Bob Woodward telah menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi pendedahan skandal Watergate yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon, pada tahun 1974.
Kejayaan tersebut bukan sahaja mengangkat reputasinya, malah membuktikan bahawa kewartawanan mampu memainkan peranan penting dalam mempertanggungjawabkan pemimpin terhadap tindakan mereka.
Mengimbas kembali pengalaman sebagai wartawan, Woodward mengakui bahawa awalnya dia masih belum mahir dalam bidang berkenaan, namun sudah mengetahui minatnya terhadap kewartawanan.
“Semasa percubaan awal untuk menjadi wartawan, saya tidak tahu bagaimana hendak melakukannya, tetapi saya tahu saya menyukainya.
“Situasi itu menggambarkan bagaimana minat dan kesediaan saya untuk belajar menjadi asas kepada perjalanan kerjaya yang panjang,” katanya dalam laman rasmi Bob Woodward.
Dilahirkan di Geneva, Illinois, pada 26 Mac 1943, Woodward menamatkan pengajian dalam bidang sejarah dan kesusasteraan Inggeris di Universiti Yale pada 1965, sebelum berkhidmat selama lima tahun sebagai pegawai komunikasi Tentera Laut Amerika Syarikat.
Selepas meninggalkan perkhidmatan ketenteraan, dia mencuba nasib di The Washington Post pada 1970, tetapi gagal melepasi tempoh percubaan selama dua minggu kerana kurang pengalaman.
Kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya, Woodward menyertai akhbar mingguan, Montgomery Sentinel di Maryland selama setahun untuk menimba pengalaman sebelum diterima bekerja di The Washington Post pada September 1971.
Titik perubahan terbesar dalam karier Woodward bermula pada 1972 apabila dia bersama wartawan, Carl Bernstein menyiasat kejadian pecah masuk di kompleks Watergate, Washington.
Kongsinya, siasatan mereka mendedahkan kaitan kejadian itu dengan kempen pemilihan semula Nixon serta usaha menutup salah laku yang melibatkan pihak pentadbiran presiden.
“Walaupun laporan kami berdepan penafian dan kritikan daripada Rumah Putih serta penyokong Nixon, namun kami meneruskan siasatan dengan meneliti dokumen, mengesahkan maklumat dan mendapatkan keterangan daripada sumber.
“Hasil kerja kami kemudian dibukukan menerusi All the President’s Men yang menjadi buku terlaris dan diadaptasi menjadi filem pada 1976,” ujarnya.

Kejayaan tersebut membawa pengiktirafan besar apabila The Washington Post menerima Hadiah Pulitzer untuk Khidmat Awam pada 1973 menerusi liputan Watergate.
Woodward turut berkongsi kejayaan Pulitzer kedua pada 2003 menerusi liputan serangan pengganas 11 September 2001.
Selepas Watergate, Woodward tidak berhenti menyiasat pusat kekuasaan, dia menghasilkan buku-buku berdasarkan temu bual mendalam, dokumen dalaman dan maklumat daripada individu yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan.
Penulisannya merangkumi beberapa Presiden Amerika Syarikat termasuk, George W. Bush, Barack Obama, Donald Trump dan Joe Biden, selain isu keselamatan negara, perisikan serta dasar ketenteraan.
Menurut biografi rasminya, beliau telah menulis atau menghasilkan 21 buku, yang kesemuanya mencapai status naskhah bukan fiksyen terlaris di peringkat kebangsaan Amerika Syarikat.
Bagi Woodward, kekuatan kewartawanan bukan sekadar kemampuan mendapatkan maklumat eksklusif, tetapi kesanggupan menghabiskan masa untuk memahami sesuatu isu.
Dalam sesi soal jawab mengenai kerjayanya, beliau menegaskan bahawa kewartawanan terbaik memerlukan kesabaran dan penelitian, bukannya mengejar kelajuan semata-mata.
“Seorang wartawan yang baik memerlukan kesabaran, dan selalunya banyak kesabaran dalam menjalankan tugas.
”Dalam dunia moden ini, fakta, dokumen sokongan dan proses pengesahan masih menjadi asas kepada laporan yang berkualiti, meskipun organisasi media berdepan tekanan untuk menerbitkan berita dengan pantas,” jelasnya.
Sepanjang kerjayanya, Woodward turut menerima pelbagai pengiktirafan kewartawanan, termasuk George Polk Award dan Worth Bingham Prize for Investigative Reporting.
Namun, beliau paling kuat dikaitkan dengan keberanian menyiasat isu yang melibatkan individu berpengaruh serta ketekunan memastikan maklumat diterbitkan mempunyai yang kukuh.
Kisah Woodward membuktikan bahawa kejayaan dalam kewartawanan tidak semestinya bermula dengan bakat luar biasa atau laluan kerjaya yang sempurna.
Sebaliknya, ia terbina melalui kesanggupan menerima kegagalan, memperbaiki kelemahan dan terus mencari jawapan, walaupun berdepan tekanan.
Daripada seorang calon wartawan yang pernah gagal dalam tempoh percubaan, beliau berkembang menjadi antara nama paling berpengaruh dalam dunia kewartawanan penyiasatan moden.
The post Wartawan pembongkar rahsia dalam Rumah Putih appeared first on Kosmo Online.
