Wartawan Syed Fawad telah dihantar pulang ke Pakistan: Saifuddin

Politics
3 Jan 2023 • 6:01 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan bahawa wartawan Pakistan, Syed Fawad Ali Shah yang dilaporkan hilang sebelum ini telah dihantar pulang ke Islamabad, Pakistan pada Ogos tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata ia susulan kerajaan Malaysia telah menerima permintaan secara diplomatik daripada kerajaan Pakistan Ogos lepas, untuk mengesan dan menghantar semula Syed Fawad ke negara berkenaan.

“Bertindak atas permintaan itu, kerajaan pada waktu itu sudah mengesan lokasi Syed Fawad dan seawal minggu ketiga Ogos tahun lepas, beliau sudah dihantar pulang ke Islamabad. Itu status beliau ketika ini berdasarkan rekod yang kita ada.

“Dan saya boleh sahkan berdasarkan rekod rasmi dan tindakan yang dibuat sesuai dengan permintaan kerajaan Pakistan terhadapnya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Saifuddin turut mendedahkan, berdasarkan maklumat diterima daripada kerajaan Pakistan, Syed Fawad yang dilaporkan media sebagai wartawan merupakan bekas anggota polis Pakistan yang mempunyai masalah disiplin.

“Walaupun dia bekas anggota polis yang ada masalah disiplin, tetapi disebabkan keupayaannya menulis dengan baik, terutamanya menegur dan mengkritik kerajaan Pakistan, jadi versi yang dilaporkan media kita adalah dia sebagai seorang wartawan. Tetapi kalau ikut rekod rasmi, dia bekas anggota polis,” katanya.

Pada 30 Dis lepas, isteri Syed Fawad yang mahu dikenali sebagai Syeda pada sidang media di Menara Sentral Vista di Brickfields di sini, meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan bagi mengesan suaminya yang didakwa hilang, selepas melarikan diri dari negara asalnya ke Malaysia pada 2009 untuk mendapatkan perlindungan.

Syeda pada 23 Ogos lepas mendakwa, suaminya tidak dapat dihubungi sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pantai di Brickfields berhubung kehilangan lelaki berkenaan.-Bernama