Wartawan Yvonne Ridley hilang selepas ditahan tentera Israel di Gaza

WorldPolitics
7 Oct 2025 • 11:16 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 7 OKT: Seorang wartawan merangkap aktivis kemanusiaan, Yvonne Ridley, dilaporkan hilang selepas ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa berhampiran Gaza, hujung minggu lalu.

Ridley, 67, yang pernah mencuri perhatian dunia apabila ditahan kumpulan Taliban di Afghanistan pada tahun 2001, menyertai flotila berkenaan bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza yang kini dikepung sejak dua tahun lalu, lapor Buletin TV3.

Ridley sepatutnya dihantar pulang ke Istanbul bersama aktivis lain, namun dilaporkan hilang ketika proses pemindahan ke Turkiye pada malam Ahad.

Beliau dikatakan kini ditahan di Penjara Ketziot, Negev dan melancarkan mogok lapar selepas didakwa tidak diberikan akses kepada ubat-ubatan yang diperlukan.

Pegawai konsular Britain yang melawat Ridley pada Jumaat lalu turut menggambarkan keadaan beliau sebagai “amat membimbangkan”, manakala keluarganya memaklumkan wartawan itu dilayan secara kasar dan menakutkan sepanjang dalam tahanan.

Lebih 400 aktivis dari pelbagai negara menyertai misi flotila yang terdiri daripada lebih 40 kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Namun, tentera Israel merampas kesemua kapal dan menahan semua aktivis sejak Khamis lalu.

Susulan itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Islam (IHRC), Massoud Shadjareh, menghantar surat kepada Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menuntut campur tangan segera bagi memastikan keselamatan semua rakyat Britain yang ditahan termasuk Ridley.

Dalam surat berkenaan, beliau mengecam tindakan Israel sebagai “lanun antarabangsa” dan menggesa kerajaan Britain mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan sekatan terhadap Tel Aviv sekiranya aktivis terbabit tidak dibebaskan segera.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved