
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan acara Warzone World Championship 2025 tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, sebarang penganjuran acara sukan khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa wajib untuk mendapatkan kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
Mana-mana penganjur yang gagal mengikut peraturan yang sudah ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 36, akta 576.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Video Gimik Promosi Jadi Perdebatan, Warzone World Championship Tiada Kelulusan KBS
KBS buat laporan polis jika WWC masih berdegil
Terbaharu KBS memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan untuk membuat laporan polis jika WWC 2025 masih berdegil untuk meneruskan kejohanan berkenaan tanpa mendapatkan sanksi (kebenaran).
Jelas Hannah Yeoh, penganjuran acara sukan yang bertaraf antarabangsa di mana membabitkan peserta dari luar negara wajib untuk mendapatkan sanksi daripada KBS sekurang-kurangnya 30 hari sebelum acara kejohanan itu bermula.
Penganjur tidak kemukakan permohonan rasmi
Walau bagaimanapun, menerusi semakan daripada pihaknya mendapati penganjuran acara WWC 2025 tersebit bukan hanya tidak mempunyai ‘sanction’ bahkan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan rasmi.
“Kami telah berulang kali menyatakan bahawa setiap penganjur yang ingin menganjurkan kejohanan antarabangsa dan melibatkan peserta luar negara, mereka perlu mendapatkan sanction dari KBS.
“Semakan telah dibuat dan acara ini tiada sanction. Ini bermaksud tak ada kebenaran dari KBS. Bila tak ada kebenaran bermaksud program itu tak boleh berjalan.
“Kalau mereka teruskan perlu membuat permohonan iaitu 30 hari sebelum kejohanan bermula. Pihak penganjur kena patuh pada syarat-syarat untuk pastikan sukan itu selamat bukan sahaja untuk atlet yang terlibat tetapi untuk penonton.
“Dalam kes ini, tiada permohonanan pun dibuat oleh penganjur kepada KBS,” ujarnya, lapor Kosmo.
Hannah sifatkan video papar aksi kanak-kanak bertindak agresif bercanggah dengan Sukan Selamat
Hannah turut menyifatkan video yang sebelum ini tular memaparkan aksi kanak-kanak bertindak agresif sewaktu sesi face-off sebagai kandungan yang bercanggah dengan dasar Sukan Selamat yang diterapkan oleh KBS.
Ini kerana ia memaparkan unsur keganasan yang melibatkan kanak-kanak.
“Bagi saya, jumlah tontonan tidak melambangkan apa-apa. Banyak kandungan negatif pun tontonannya tinggi kerana ingin tahu, tetapi itu tidak bermakna ia sesuai untuk dipromosikan.
“Saya tidak peduli setinggi mana pun jumlah tontonan mereka. Tanggungjawab kami ialah melindungi generasi muda dan memastikan setiap acara sukan dijalankan secara selamat serta beretika.”
Beliau dalam masa sama turut menegaskan budaya sukan tempur tidak boleh dijadikan sebagai alasan bagi menormalisasi keganasan di kalangan remaja. Ini kerana ia bercanggah dengan nilai kemanusiaan serta usaha dalam membanteras buli.
“Bukan semua bentuk hiburan boleh diterima. Saya tidak mahu lihat hanya kerana mahu tontonan tinggi, ada pihak sanggup mempromosikan budaya ganas,” katanya.
Nasihat penaja dan orang ramai untuk berhati-hati kerana acara terbabit tiada kelulusan KBS
Dalam pada itu, Hannah juga menasihatkan penaja dan orang ramai untuk lebih berhati-hati kerana pertandingan tersebut tidak mempunyai kelulusan yang sah selain boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada peserta termasuklah penonton.
Oleh itu, Hannah menyeru semua penganjur untuk patuh pada prosedur serta dapatkan kelulusan rasmi daripada pihak KBS dalam memastikan setiap acara sukan yang dilakukan berjalan dengan selamat dan mengikut undang-undang negara.
Menerusi semakan kami WWC masih aktif mempromosikan acara tinju mereka dengan video sidang media dan face-off di Facebook dengan video terakhir pada lewat malam tadi.

Petinju cilik tular tampil mohon maaf
Dalam satu perkembangan terbaharu, petinju cilik yang tular baru-baru ini tampil membuat permohonan maaf kepada Hannah Yeoh , Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung aksinya tempoh hari.
Dalam video itu, kanak-kanak berkenaan mengakui kesilapannya bertindak agresif ketika sesi face-off namun berharap semua pihak dapat memaafkannya termasuk rakyat Malaysia dan Indonesia.
Malah dia menzahirkan harapan agar pertarungannya selepas ini tidak dibatalkan.
View this post on Instagram
Hannah minta penganjur bertanggungjawab dan jangan gunakan anak kecil
Hannah Yeoh turut dilihat meninggalkan komen pada hantaran berkenaan dan meminta penganjur untuk bertanggungjawab.
“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil ini tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” kata Hannah.


![Warzone World Championship [LIVE], Atlet & Cara Beli Tiket](https://cdn.newswav.com/img/topic/sports.jpeg)