
KUALA LUMPUR 3 Dis – Wasco Berhad melalui anak syarikatnya di Singapura WS Engineering & Fabrication Pte. Ltd memperoleh kontrak untuk projek membina dan menyusun modul siap pasang untuk loji industri milik syarikat kejuruteraan dari Itali, iaitu Technip Energies.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Wasco berkata, kontrak tersebut melibatkan pembinaan dan pemasangan modul pra-rakit secara menyeluruh berdasarkan pengukuran semula, dengan tempoh pelaksanaan dijangka selama 37 bulan.
“Nilai kontrak dijangka menjana pendapatan antara AS$150 juta hingga AS$200 juta, bersamaan RM619.4 juta hingga RM825.8 juta (berdasarkan kadar pertukaran AS$1 = RM4.12) sepanjang tempoh kontrak.
“Kerja dan perkhidmatan di bawah kontrak ini adalah dalam skop perniagaan Bahagian Kejuruteraan Wasco dan risiko yang terlibat adalah risiko operasi biasa,” katanya dalam makluman itu.
Kontrak ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan Kumpulan Wasco dan bersifat projek khusus yang tidak boleh diperbaharui.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.
Lembaga Pengarah Wasco berpendapat, kontrak yang diperoleh adalah selaras dengan perjalanan perniagaan biasa dan demi kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com
