
KUALA SELANGOR – Wasiyyah Shoppe Berhad menyasarkan jumlah pelanggannya mencecah 80,000 orang tahun ini, didorong peningkatan kesedaran pasangan muda terhadap kepentingan hibah dan perancangan harta pusaka.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, perubahan demografi menunjukkan majoriti pelanggan syarikat itu kini berusia antara 30 hingga 55 tahun, manakala golongan berusia 55 tahun ke atas mewakili kira-kira 35 peratus.
Katanya, peningkatan pelanggan dalam kalangan pasangan muda turut didorong kemudahan aplikasi hibah digital yang membolehkan akad dilakukan tanpa menggunakan kertas.
“Sejak aplikasi dilancarkan 2023, aplikasi ini sudah merekodkan 21,000 orang dan 36,000 dokumen telah dijananya. Wasiyyah adalah syarikat pertama di dunia yang membuat akad hibah tanpa kertas. Malah, hibah secara digital itu diterima Mahkamah Syariah melalui beberapa kes yang telah dibawa sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Wasiyyah Larian Sawah Padi Tanjong Karang di sini, hari ini.
Menurutnya, pasangan muda menjadi segmen penting kerana kematian ibu bapa yang masih mempunyai anak kecil boleh memberi kesan besar terhadap pengurusan harta pusaka dan kebajikan keluarga.
“Kalau suami isteri meninggal dunia dan meninggalkan anak kecil, harta pusaka itu menjadi lebih mendesak kerana anak masih belum mampu menguruskan harta sendiri.
“Berbanding ibu bapa yang sudah berusia, anak-anak mereka kebanyakannya sudah bekerja dan kehidupan tidak terlalu terjejas sekiranya berlaku kematian,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, walaupun ramai sudah mengetahui mengenai hibah, tahap kesedaran untuk mengambil tindakan masih rendah kerana masyarakat sering menganggap mereka masih muda dan belum mempunyai harta yang banyak.
“Ramai fikir belum sampai masa kerana masih muda. Sebenarnya rumah yang masih mempunyai pinjaman bank juga boleh dihibahkan kepada anak,” katanya.
Katanya, hibah harta bercagar di Malaysia telah dipelopori Wasiyyah sejak 2017, sekali gus membolehkan pemilik merancang pemindahan aset kepada penerima yang ditetapkan tanpa menunggu proses pembahagian pusaka selepas kematian.
“Kalau menjadi harta pusaka, rumah itu tertakluk kepada pembahagian faraid dan pada masa sama masih ada pinjaman bank. Biasanya rumah itulah tempat pasangan dan anak-anak tinggal. Jadi, perancangan awal penting supaya kebajikan keluarga tidak terganggu apabila berlaku kematian,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Wasiyyah Shoppe sasar 80,000 pelanggan hibah appeared first on Kosmo Digital.
