PERNAHKAH kita terfikir bagaimana satu video berdurasi 30 saat mampu mengubah cara seorang anak muda melihat agama?
Hari ini, telefon pintar, media sosial dan algoritma mampu mendedahkan seseorang kepada pelbagai fahaman sehingga sesuatu yang asing akhirnya dianggap biasa.
Di sinilah kita perlu melihat dengan lebih serius penularan feminisme liberal dalam kalangan sebahagian wanita Muslim, khususnya di platform seperti TikTok, Instagram dan X.
Ia datang bukan dalam bentuk kuliah panjang, tetapi melalui video pendek, slogan, ciapan dan grafik yang kelihatan menarik serta mudah diterima, terutama oleh golongan muda.
Antara naratif yang sering muncul ialah my body, my choice yang meletakkan pakaian dan aurat sebagai hak mutlak individu, manakala teguran mengenainya dilabel toxic, cyberbullying atau 'terpaling alim', sehingga batas kebebasan peribadi dan kewajipan agama semakin kabur.
Begitu juga naratif hyper-independence yang mendakwa wanita tidak memerlukan lelaki untuk bahagia atau berjaya. Ungkapan seperti I don't need a man dan Men are trash mungkin dianggap trend, namun pengulangan berterusan boleh mempengaruhi cara generasi muda melihat lelaki, perkahwinan dan keluarga.
Lebih membimbangkan apabila ayat al-Quran dan hadis dipetik secara terpilih bagi menyokong hujah tertentu. Isu ketaatan kepada suami, nusyuz, poligami, faraid, wali dan kepimpinan lelaki dalam keluarga kemudiannya diperdebatkan tanpa merujuk mereka yang benar-benar berautoriti dalam ilmu agama.
Kita perlu jelas, Islam bukan musuh wanita. Islam mengiktiraf maruah, hak, keselamatan dan kedudukan wanita. Namun, hak dan kebebasan dalam Islam tidak pernah dipisahkan daripada panduan wahyu.
Jangan biarkan algoritma menjadi guru agama, influencer rujukan hukum dan ruangan komen penentu halal haram. Belajarlah sebelum percaya, semak sebelum berkongsi dan rujuk yang berilmu sebelum membuat kesimpulan.
Kerana syariat dinilai berdasarkan trend, emosi dan tekanan sosial, yang dipertaruhkan bukan sekadar pemikiran individu, tetapi masa depan keluarga dan generasi Muslim. Lebih membimbangkan apabila ketaksuban terhadap pemikiran liberal boleh mengancam akidah wanita Muslim.
