Wawasan Perlis terima pemimpin Bersatu keluar parti

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 7:47 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wawasan Perlis terima pemimpin Bersatu keluar parti

KANGAR: Parti Wawasan Negara (Wawasan) Perlis terbuka mene­rima para pemimpin yang sebelum ini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai parti itu.

Penyelaras Wawasan negeri, Azahar Hassan berkata, beliau mengambil maklum mengenai pemimpin-pemimpin Bersatu dari tiga bahagian yang keluar parti dan menyatakan hasrat menyertai Wawasan di Perlis.

Beliau juga tidak melihat perbezaan latar belakang politik sebagai penghalang untuk seseorang menyertai perjuangan baharu.

“Wawasan adalah wadah po­litik yang terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

“Kepada rakan-rakan daripada Bersatu mahupun mana-mana parti politik lain yang merasakan bahawa perjuangan mereka selari dengan prinsip dan inspirasi Wawasan, kami sentiasa terbuka menerima.

“Bagaimanapun, penyertaan ke dalam Wawasan itu hendaklah dibuat atas dasar kerelaan sendiri, kesedaran dan keyakinan terhadap perjuangan, bukannya kerana tekanan mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar dan sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk 14 ke­tua cawangan mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Keputusan peletakan jawatan itu dibuat setelah melalui penilaian sedalamnya di mana mereka berpendapat telah hilang kepercayaan kepada ke­pimpinan parti di peringkat pusat.

Azahar yang juga Ahli Dewan Negara berkata, Wawasan juga menyeru golongan muda khususnya di Perlis supaya berani tampil dan mengambil bahagian dalam politik.

“Kami membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk membawa idea baharu, mempelajari selok-belok politik terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan serta menjadi sebahagian daripada proses membentuk masa depan negeri dan negara.

“Mereka yang mempunyai minat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mahu terlibat dalam politik secara lebih terbuka dan inklusif, Wawasan Perlis mengalu-alukan.

“Kami percaya perbezaan boleh disatukan melalui wawasan yang lebih besar, kepen­tingan rakyat, pembangunan negeri dan masa depan,” katanya. – UTUSAN

The post Wawasan Perlis terima pemimpin Bersatu keluar parti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved