WCE cipta sejarah, raih emas PR Awards 2026 melalui penggunaan AI

LocalTechnology
23 Apr 2026 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: WCE cipta sejarah, raih emas PR Awards 2026 melalui penggunaan AI
Syed Mohammed Idid menunjukkan Anugerah Emas diterima WCE ketika PR Awards 2026.
Image from: WCE cipta sejarah, raih emas PR Awards 2026 melalui penggunaan AI
Syed Mohammed Idid (kiri) bersama sebahagian warga kerja WCE meraikan kejayaan meraih Anugerah Emas pada PR Awards 2026.

KLANG - Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) mencipta sejarah apabila muncul sebagai syarikat konsesi lebuh raya pertama di Malaysia meraih Anugerah Emas bagi kategori Penggunaan Teknologi/kecerdasan buatan (AI) Terbaik untuk Perhubungan Awam di PR Awards 2026.

Anugerah dianjurkan MARKETING-INTERACTIVE itu disampaikan di Singapura baru-baru ini dan menjadi platform pengiktirafan utama dalam industri perhubungan awam merentasi Asia Selatan, Asia Tenggara dan Oceania dengan penilaian kompetitif oleh panel bebas terdiri daripada pakar industri berpengalaman.

Kemenangan terbabit menjadi pencapaian signifikan apabila WCE berjaya menonjol dalam persaingan peringkat serantau bersama organisasi korporat pelbagai industri termasuk Shopee dan CapitaLand.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid berkata, pihak mereka amat berbesar hati menerima pengiktirafan tersebut.

"Lebih bermakna lagi, ia meletakkan WCE sebagai penanda aras baharu bagi industri lebuh raya di Malaysia. Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pasukan kami dalam memperkukuh komunikasi bersama pihak berkepentingan.

"Dengan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kami memastikan maklumat yang disampaikan sentiasa tepat, pantas dan memberi nilai sebenar kepada pengguna lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

**media[3500198]**

Pengiktirafan bertaraf serantau itu turut mengukuhkan komitmen WCE terhadap penambahbaikan berterusan, selaras dengan peranannya sebagai syarikat konsesi lebuh raya yang mengutamakan kepentingan awam serta inovasi dalam penyampaian komunikasi.

Menurut WCE, pengiktirafan berprestij itu mencerminkan keupayaan WCE memanfaatkan teknologi dan AI secara strategik bagi memperkukuh komunikasi awam, khususnya dalam pengurusan isu, pemantauan sentimen dan penyampaian maklumat pantas serta berimpak tinggi kepada pengguna lebuh raya dan pihak berkepentingan.

Sepanjang tempoh penilaian, WCE telah memperkukuh kerangka komunikasinya melalui integrasi alat pemantauan media dan analitik berasaskan AI.

Pendekatan tersebut membolehkan organisasi memahami sentimen awam secara masa nyata, mengenal pasti risiko komunikasi pada peringkat awal dan memastikan mesej disampaikan tepat, konsisten serta relevan dengan keperluan semasa.

Pendekatan berasaskan data itu turut meningkatkan keupayaan respons pantas merentas pelbagai saluran komunikasi, sekali gus menyokong kefahaman awam lebih jelas terhadap pembangunan dan operasi lebuh raya.

Inisiatif berkenaan memperlihatkan bagaimana teknologi dimanfaatkan secara praktikal dalam perhubungan awam, bukan sekadar alat sokongan tetapi sebagai pemacu utama kecekapan, ketelusan dan pembinaan kepercayaan.