WCT diramal catat prestasi lebih baik pada FY24 seiring pelaksanaan pelbagai projek awam - Kenanga Research

Business & Finance
24 Jun 2024 • 10:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WCT diramal catat prestasi lebih baik pada FY24 seiring pelaksanaan pelbagai projek awam - Kenanga Research

herman

24/06/2024 - 10:57

KUALA LUMPUR 24 Jun - Tahun kewangan 2024 WCT Holdings Berhad dijangka lebih baik dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur awam yang bakal berlaku, kata Kenanga Research.

Menurut firma penyeldikan itu, antara projek berkenaan termasuk MRT3 bernilai RM45 bilin, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, pelan Regenerasi Lapangan Terbang Subang (RM3.7b) dan pelbagai hospital kerajaan.

Katanya, setakat ini, kejayaan terbaharu WCT meraih kontrak pelebaran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) antara Sedenak dan Senai Utara berjumlah RM249.7 juta telah meningkatkan jumlah projek yang dimenangi pada tahun ini kepada RM750 juta sekali gus meletakkan syarikat itu pada landasan tepat untuk mencatatkan jumlah kontrak dimenangi melebihi RM1 bilion.

"Kami menaikkan ramalan keuntungan bersih WCT FY24 dan FY25F masing-masing sebanyak 15% dan 54% dengan menaikkan anggaran kemenangan projek FY24 kepada RM1.5 bilion (daripada RM1.0 bilion) sementara anggaran FY25 dikekalkan pada RM1.5 bilion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Kenanga Research menaikkan harga sasaran (TP) WCT sebanyak 33% kepada 88 sen, daripada 66 sen sesaham dan mengekalkan saranan Outperform.

Kata firma penyelidikan itu, dari sudut pelaburan, WCT jadi pilihan kerana prospek yang lebih baik bagi sektor pembinaan tempatan dengan jangkaan terlibat dalam pelaksanaan projek-projek awam.

"Kadar penghunian juga meningkat dan seterusnya menyumbang pendapatan sewa, keuntungan dan penilaian untuk pusat beli-belah dan hotel selepas wabak.

"Ini menjadikan aset ini melalui REIT menyumbang pendapatan secara lebih munasabah," ujarnya.

Mengenai projek yang dianugerahkan PLUS Malaysia Berhad, Kenanga Research berkata, skop kontrak ini adalah selama 36 bulan bermula Jun 2024.

PLUS Malaysia dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan secara keseluruhannya, projek pembinaan lorong tambahan ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

"Projek ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi di kawasan-kawasan sekitar seperti Sedenak, Kulai, Senai, Iskandar Malaysia dan Pagoh," kata PLUS Malaysia.- DagangNews.com