johardy16/11/2026 - 08:00 Lai Cheng Yee Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - WCT Holdings Berhad melantik Lai Cheng Yee sebagai Pengarah Urusan Kumpulan menggantikan Datuk Lee Tuck Fook dalam rombakan pengurusan kanan kumpulan hartanah dan pembinaan itu.
Lai, 52, memegang jawatan berkenaan berkuat kuasa 13 November, manakala Lee, 72, dilantik semula sebagai Naib Pengerusi Eksekutif pada tarikh sama, menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu turut mengumumkan peletakan jawatan Timbalan Pengarah Urusannya, Datuk Chow Ying Choon, berkuat kuasa 13 November, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula tugas dan tanggungjawab secara strategik.
WCT memaklumkan tiada perselisihan pendapat dengan lembaga pengarah berhubung peletakan jawatan itu.
Lai mempunyai pengalaman profesional lebih 20 tahun di beberapa syarikat tempatan dan multinasional, termasuk BIG Industries Berhad, Pavilion Group, Diethelm Malaysia, Procter & Gamble serta Fraser & Neave Holdings Berhad.
Beliau menyertai WCT pada 15 Ogos 2018 sebagai Pengarah Pejabat Pengerusi Eksekutif, dengan membantu pengerusi eksekutif merentasi perniagaan kumpulan. Beliau mula mengetuai bahagian hospitaliti, penerbangan serta makanan dan minuman kumpulan pada Jun 2024.
Lai turut menyelia projek berkaitan konsesi, bahagian kejuruteraan dan pembinaan serta pembangunan hartanah kumpulan. Beliau juga merupakan ahli lembaga pengarah Tourism Malaysia sejak September 2023.

Sementara itu, Lee memulakan kerjayanya di KPMG pada 1974 dan menjadi rakan kongsi pada 1985. Beliau meninggalkan firma perakaunan itu pada 1990 sebelum memegang jawatan pengurusan kanan di beberapa syarikat Malaysia, termasuk Samling Group, Renong Overseas Corporation, Peremba-Kentz Ltd dan Cement Industries of Malaysia Berhad.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Paracorp Berhad dan Malton Berhad, selain menjadi Pengerusi Pesona Metro Holdings Berhad dari 2012 hingga 2024.
Lee kini memegang jawatan pengarah di Pavilion REIT Management Sdn Bhd, WCT Berhad, Pavilion REIT Bond Capital Berhad dan Pavilion REIT Capital Berhad.
Saham WCT ditutup meningkat 2% kepada 27 sen pada 13 November, menjadikan permodalan pasaran syarikat sebanyak RM406 juta. - DagangNews.com

