Web Bytes, E3Hubs jalin kerjasama pacu transformasi digital usahawan makanan dan minuman
diyana
23/11/2023 - 15:54
KUALA LUMPUR 23 Nov - Web Bytes Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan E3 Capital Sdn Bhd bagi mempercepatkan transformasi digital untuk usahawan makanan dan minuman (F&B).
Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, E3Hubs yang dikendalikan oleh E3 Capital akan memberi usahawan akses kepada teknologi berasaskan awan untuk membantu mereka mengoptimumkan proses perniagaan dan meningkatkan kecekapan operasi, sesuai dengan tuntutan dinamik industri, dengan kos pelaburan yang lebih rendah.
E3Hubs mempunyai komuniti yang kukuh dengan 3,000 ahli usahawan yang berdaftar, dengan hampir separuh daripadanya berasal dari sektor F&B.
Menyedari keperluan unik ini, terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan perniagaan atau memiliki kedai tunggal, Web Bytes selaku syarikat perisian pengurusan runcit akan menaja penuh sistem Xilnex Cloud POS pada iPad dan Xilnex F&B Go mobile POS kepada ahli E3Hubs Effectuator F&B untuk tahun pertama, dan subsidi hingga 30% bagi tahun kedua.
E3Hubs Effectuators ialah usahawan yang memiliki keahlian berbayar dalam komuniti E3Hubs.
Antara ciri-ciri yang termasuk dalam sistem Xilnex adalah integrasi program kesetiaan untuk online-to-offline (O2O), pesanan QR tanpa sentuh dan pembayaran DuitNow, serta integrasi jualan dengan aplikasi pihak ketiga seperti GrabFood, foodpanda, dan ShopeeFood.
Selain itu, bantuan juga akan diberikan kepada semua ahli peruncit F&B yang berdaftar di E3Hubs untuk memohon Bantuan Digital MSME Madani jika mereka melanggan sistem POS Xilnex.
Ketua Pegawai Eksekutif Web Bytes, Ooi Boon Sheng berkata, teknologi memainkan peranan penting untuk mengemudi cabaran dalam sektor F&B dengan berjaya dan tetap bersaing dalam landskap ekonomi hari ini.
“Selain itu, analisis dari data dengan Xilnex adalah penting untuk merumuskan strategi harga, produk dan pemasaran yang tepat.
“Dengan sistem POS Xilnex, kami harap ia boleh membantu meningkatkan kecekapan keseluruhan, memberikan landasan kukuh untuk perniagaan F&B berkembang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif E3 Capital, Andrew Wong menambah bahawa E3Hubs telah mengenal pasti segmen F&B sebagai segmen yang perlu diperkukuhkan keupayaan dan pembangunan kapasiti dengan menyediakan sokongan perniagaan, akses pasaran, dan akses kepada pembiayaan.
“Oleh kerana satu pertiga daripada keahlian kami adalah dari industri F&B, kami bercadang untuk membantu mereka membesarkan perniagaan dan terlindung dari kompleksiti dan kerentanan industri,” ujar beliau. - DagangNews.com


