
KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming (KA) tampil memohon maaf selepas laman web tempahan restoran pertamanya, Rembayung, mengalami gangguan teknikal akibat trafik yang terlalu tinggi ketika sesi tempahan dibuka pada malam Ahad.
Menerusi hantaran di platform Threads, Khairul Aming memaklumkan bahawa pasukannya telah berusaha sebaik mungkin, namun sistem masih tidak mampu menampung jumlah pengunjung yang masuk secara serentak.
“Mohon maaf website booking Rembayung crash tadi. Kami dah cuba yang terbaik tapi masih tak boleh tampung traffic yang tinggi. Kepada 3,000 customers yang dah berjaya booking Rembayung tadi, kami akan cuba yang terbaik untuk bagi anda pengalaman menjamu selera di Rembayung.
Terima kasih guys
”
Sokongan Padu Warganet
Insiden berkenaan bagaimanapun tidak mengundang kecaman, sebaliknya menerima sokongan padu daripada warganet. Ruangan komen dibanjiri kata-kata semangat dan simpati, dengan ramai yang memahami cabaran pembukaan pertama sebuah restoran berskala besar.
Rata-rata menasihatkan Khairul Aming agar terus bersabar dan tidak terlalu membebankan diri, selain menyatakan keyakinan bahawa Rembayung akan beroperasi untuk jangka masa panjang dan semua peminat pasti berpeluang menikmati hidangan di restoran berkenaan. Tidak kurang juga yang menggesa agar pengalaman 3,000 pelanggan terawal ini dijadikan momen paling bermakna, sambil mendoakan agar rezeki Khairul Aming dan pasukannya terus bertambah pada masa akan datang.
Lebih 50,000 Orang ‘Serbu’ Website
Sementara itu, menerusi satu perkongsian di Facebook oleh Mohd Fadli Salleh, beliau mendedahkan betapa luar biasanya sambutan terhadap pembukaan tempahan restoran Rembayung.
Menurutnya, sebaik sahaja tempahan dibuka secara langsung sekitar jam 9 malam, laman web sistem tempahan dilaporkan mengalami gangguan dalam tempoh kurang daripada satu minit selepas lebih 50,000 orang cuba mengaksesnya secara serentak.
“Lebih 50k orang pakat serbu website serentak nak booking. Aku pun cuba nak masuk, tapi tak lepas.
Setakat tadi 400 booking dah diterima. Satu booking ada 8 pax, ada 6 pax.
Perghhh. Catat sejarah lagi KA ni.”
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Khairul Aming dan menyatakan sokongan berterusan walaupun tidak berjaya mendapatkan tempahan.
Tempahan Dibuka Buat Kali Pertama
Terdahulu, Khairul Aming memaklumkan bahawa tempahan bagi restoran Rembayung akan dibuka bermula jam 9 malam dan semua perincian termasuk kaedah tempahan dijelaskan menerusi penstriman langsung di TikTok.
Beliau turut memohon maaf kerana pengumuman dibuat pada saat akhir, namun langkah tersebut diambil bagi memastikan semua persiapan berada pada tahap terbaik sebelum tempahan dibuka kepada umum.
Untuk rekod, Rembayung merupakan projek restoran pertama Khairul Aming yang dibangunkan dengan modal kira-kira RM4 juta di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampong Bharu, hanya sekitar sembilan minit dari pusat bandar Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Walaupun berdepan cabaran teknikal, fenomena luar biasa ini sekali lagi membuktikan pengaruh besar Khairul Aming serta sokongan padu rakyat Malaysia terhadap anak muda tempatan yang berjaya membina jenama sendiri. – The Malaysian Update
The post Website Booking Rembayung ‘Crash’ Diserbu Lebih 50,000 Orang, Khairul Aming Mohon Maaf appeared first on The Malaysian Update.



