WellnessByHelloMarch | Berjuang Dan Terus Hidup

Opinion
22 Feb 2026 • 10:00 AM MYT
Zakiah Senin
Zakiah Senin

30 years of shaping communities through volunteerism and character building

Image from: WellnessByHelloMarch | Berjuang Dan Terus Hidup
Photo credit; ChartGPT Image

Pernah tak dikritik di hadapan orang ramai? Sehingga rasa maruah terbang melayang. Pernah tak rasa usaha besar kita diperkecilkan sehingga tidak kelihatan, walau sebesar kuman? Pernah tak terasa komitmen dan kesungguhan kita tak dihargai? Sehingga hampir menekan ‘butang’ berhenti. Saya pernah! Dulu. Sehingga saya sanggup memohon agar tuhan menghaibkan keberadaan saya di di hadapan audiens. Memang sungguh-sungguh saya nak ghaib! Tapi doa saya tak makbul. Hahaha.

Ceritanya sekitar tahun 2004. Ketika itu Yayasan Salam Malaysia diamanahkan untuk menyediakan modul berkonsep komuniti di peringkat nasional. Selepas modul ini melalui saringan demi saringan, penambahbaikan demi penambahbaikan selama hampir lima bulan. Tibalah masanya modul ini dibentangkan. ketika itu, saya dan dua orang rakan sukarelawan iaitu Saudara Abang Affendi Ngah dan Saudari Musliha Muarif ditugaskan untuk menyampaikannya kepada 200 orang jurulatih yang bakal membawa modul ini dalam siri-siri program yang telah dijadualkan sepanjang tahun. Meski masih muda. Namun, kami tetap bersemangat.

Ketika itu saya adalah pembentang yang terakhir, sedang berdiri di hadapan audiens dan bersedia memulakan sesi. Tiba-tiba salah seorang jurulatih di barisan hadapan bangun, mengangkat modul dan mencampakkannya di atas kerusi kosong di sebelahnya. Saya sangat terkejut. Jantung terus berdegup laju. “Saya aktivis dalam isu ini.” Dia memperkenalkan diri dengan cukup lantang. Semangat saya terus melayang. “Banyak sangat salah dalam modul ni.” Katanya sambil menggeleng-geleng kepala dan mengecilkan mata. “Tetapi kami telah berjumpa dengan pelbagai pihak untuk melengkapkan modul ini”. Saya hanya mampu mengulum kata-kata itu. “Apa kelayakan kamu? Apa kelulusan kamu? Tangan saya mula menggigil. Belum sempat soalan dibalas jawapan. Dia terus meluahkan ketidakpuasan hatinya. Saya hampir tidak mampu menapis dan menghadam tiap kata-katanya. Perasaan saya bercampur baur. Sedih, malu, terhina, kecewa, takut dan tidak berdaya. Saya hanya mahu lari, tetapi kaki bagai dipaku. Saya mahu Allah ghaibkan saya, tetapi ia tidak berlaku. Yang saya mampu, menahan air mata supaya tidak meluncur laju. Apa pun saya berusaha, berhempas-pulas melarikan fokus dari tekanan tersebut. Saya cuba untuk senyum, tetapi saya rasakan hal ini tidak menjadi. Saya tarik nafas dalam-dalam, tetapi saluran pernafasan saya masih tersumbat! Saya berusaha menenangkan hati dan berdoa, Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menetralkan keadaan. Dalam rasa yang amat kecil, saya memberanikan diri untuk bertentang mata dengan semua peserta, termasuk menyerap segala reaksi mereka. Saya berusaha menyusun kata, saat jurulatih itu menamatkan ‘kritikan membina’nya.

“Alhamdulillah...syukur. Hari ini Allah pertemukan kita dengan seorang insan yang hebat, beri tepukan gemuruh kepada tuan profesor kita.” Para peserta memberi tepukan kepadanya. “Ini yang dinamakan rezeki kami, rezeki tuan-tuan dan puan-puan serta rezeki bakal peserta yang akan kita didik nanti.” Profesor Adnan (bukan nama sebenar) tersenyum dan duduk. Para peserta masih diam membatu dan umpama menunggu. Saya menambah, “Bayangkan jika Prof. Adnan tiada, modul yang lemah ini akan digunakan oleh seluruh jurulatih dan modul yang lemah inilah yang akan dipelajari oleh para peserta nanti.” Para peserta tersenyum. Prof. Adnan tersenyum lebar. “Saya mewakili pihak yang terlibat dalam penghasilan modul ini memohon jutaan kemaafan atas kesilapan yang berlaku. Saya harap Prof. Adnan sudi menerima kami sebagai anak murid, seterusnya modul yang terbaik dapat kita hasilkan bersama. Saya juga berjanji sebelum siri pertama program kita nanti, modul yang telah ditambah baik akan berada di tangan tuan-tuan dan puan-puan.” Para peserta mengangguk-ngangguk dan tersenyum. Saya dapat merasakan awan hitam yang menyelubungi dewan beransur-ansur berlalu.

Ya Allah...syukur. Allah telah memakbulkan doa saya dengan mengilhamkan saya idea yang baik dan mampu menyusun kata-kata meski jiwa masih sarat dan berat.

Selesai sahaja slot, Prof. Adnan menemui kami, “Hmmm...nak ikutkan kalau sekadar asas, dah ok dah ni. Tapi pada saya elok kita tambah sikit. Tak banyak pun.” Prof. Adnan menyelak-nyelak halaman modul yang dimaksudkan. Kami saling berpandangan, serentak mengukir senyum kelegaan.

-------------------------------

Hakikatnya, kita membesar dengan elemen kekuatan dan kelemahan. Kekuatan dan kelemahan adalah label dan ukuran yang dicipta oleh manusia sekeliling mahupun diri kita sendiri. Jika ‘sesuatu’ itu dinilai sebagai kekuatan kita, sudah tentu kerana orang di sekeliling telah mengiktiraf bahawa itu adalah kualiti yang kita miliki. Namun, jika satu ketika kekuatan itu mampu disaingi oleh orang lain, kita mula merasai ada ‘ruang kosong’ dalam diri yang masih belum cukup sempurna untuk menobatkannya sebagai kekuatan kita secara mutlak. Ruang kosong itulah kelemahan diri. Contohnya, melalui cerita di atas, kami, jurulatih muda dari SALAM, percaya kami punya kekuatan untuk memberi bimbingan menggunakan modul yang telah melalui pelbagai bentuk saringan. Kami percaya pada kekuatan yang dimiliki oleh diri dan kekuatan yang dimiliki oleh modul. Namun, ketika insiden tersebut berlaku, kepercayaan bahawa kami adalah pembimbing yang bagus adalah meleset, malah kepercayaan pada modul jauh lebih meleset! Kami ‘dipaksa’ melalui fasa dibuka ‘pekung di dada’ dan digendang di tengah khalayak. Ini jugalah fasa mengajar diri untuk membangun kekuatan mental dan emosi. Setakat mana kelemahan sendiri diakui? Sekuat mana sikap berlapang dada, kita miliki? Seteguh mana rasa rela menerima kritikan, sedia teradun dalam diri. Nyatanya, kelemahan akan kekal sebagai kelemahan selagi tidak diatasi. Jika diatasi dengan pengisian ilmu dan kemahiran sewajarnya, kelemahan tersebut bukanlah satu kelemahan lagi. Namun, tunggu… akan tiba masanya ‘pekung’ yang lain akan ditemui. Kita pula akan terus memperbaikinya. Selagi mahu, selagi mampu, selagi perlu. Sewajarnya begitu. Inilah namanya kehidupan.

Bak kata Hamka, “Hidup ini adalah gerak, gerak adalah maju, maju adalah juang. Juang adalah engkau jatuh, engkau bangun, engkau jatuh dan engkau bangun lagi! Kita tidak tahu apa yang berlaku esok. Lantaran itu, kita tiada masa untuk dibuang.”

(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com

Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.


Image from: WellnessByHelloMarch | Berjuang Dan Terus Hidup

Kongsi perjalanan kesejahteraan anda dan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM2,000! Ketahui cara penyertaan di siniT&S terpakai. 


Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.