Saya memandang tepat ke arah Hasnah (bukan nama sebenar), seperti cuba meneroka ruang pertimbanganya untuk mengesahkan apa yang diperkatakan sebentar tadi. “Betul kak lang, Insya-Allah saya akan jaga Mia. Dah sayang, tak sampai hati nak biarkan dia.” Hasnah adalah sukarelawan di pusat perlindungan wanita dan remaja yang menguruskan remaja hamil luar nikah, bekas pengguna dadah, bekas banduan, pekerja seks dan gelandangan. “Besar pengorbanan Hasnah, insan terpilih sahaja yang boleh buat keputusan begini.” Saya hadiahkan senyuman kekaguman kepadanya. Hasnah membalas dengan senyuman penuh keyakinan.
Tika itu terimbau detik nenek Mia menyerahkan ibu Mia, enam tahun dahulu di pusat perlindungan ini. Saat itu Mia berusia dua bulan di dalam kandungan ibunya. Ibu Mia berusia 19 tahun dan merupakan seorang penuntut di IPT. Namun akibat salah langkah, akhirnya dia terpaksa menanggung padah. “Tolonglah jaga anak saya ini, didiklah dia, nanti selepas bersalin saya akan jaga baby ni, dia tetap cucu saya.” Saat itu hati bagai tersentuh, kerana kebiasaannya keluarga tidak mahu menjaga bayi yang dilahirkan dalam status begini.
Ketika Mia berusia tujuh bulan di dalam kandungan, Mia terpaksa dilahirkan kerana ibunya mengalami pendarahan. Alhamdulillah Mia dan ibunya selamat. Walaubagaimanapun Mia telah disahkan menghidap hydrocephalus, iaitu lebihan cecair dalam otak yang menyebabkan kepala Mia bersaiz besar berbanding kebiasaan. Tiada kebahagiaan terukir di raut wajah ibu Mia saat menyambut Mia ke dalam dakapannya. Mungkin ibu Mia masih dalam keraguan, ditambah usianya terlalu mentah untuk mendepa tangan menerima kenyataan. Namun begitu, lahirnya Mia ke dunia disambut dengan penuh kegembiraan oleh sukarelawan dan penghuni pusat perlindungan ini. Takdir telah tertulis, siapalah yang yang mampu mengubahnya. Mia masih bayi, langsung tidak mengerti, jauh sekali untuk hidup berdikari. Justeru demi kelangsungannya, Mia perlu dibantu untuk memenuhi keperluannya. Setelah ibu Mia habis berpantang dan Mia telah dibenarkan keluar dari hospital. Nenek Mia dan bapa saudaranya muncul di pusat ini. Neneknya berkata, “Kalau sempurna tu mahu lah, macam saya cakap hari tu. Kalau macam ni tak nak lah, kami pun tak ada pengalaman nak jaga, banyak juga nak pakai duit kalau macam ni.” Ujarnya sambil memandang sekilas kepada Mia yang sedang asyik disusui ibunya. Sungguh mudah dia melepaskan tanggungjawab yang wajib dipikul olehnya. Sepatutnya begitu. Namun Mia hanya diumpamakan seperti ‘sesuatu’ yang jika mahu, boleh diambil dan jika tidak mahu boleh sahaja dibiarkan. Sayu melihat Mia ditinggalkan. Tiada sebarang ucapan apatah lagi ciuman dan pelukan perpisahan. Namun Mia masih tersenyum apabila diagah dan tidurnya tetap lena meski ibu yang mengandungkannya dan nenek yang telah berjanji untuk menjaganya telah meninggalkannya sebegitu mudah tanpa rasa bersalah.
Bermula dari saat itu, Hasnah telah menumpahkan kasih sayang, mengasuh, merawat dan ibu buat Mia. Untungnya Mia, Mia bukan sahaja ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ oleh Hasnah, malah turut mendapat sentuhan kasih dari ‘ibu-ibu angkat’nya, iaitu para penghuni pusat perlindungan ini. Ihsan ini membuat Mia yang hanya mampu terbaring dan kurang aktif sebagaimana bayi yang normal, masih kekal membesar dengan baik.
Empat tahun berikutnya, pusat ini terpaksa dihentikan operasinya. Pihak pengurusan telah mengambil langkah-langkah sepatutnya dalam memastikan para penghuninya memperolehi perlindungan dan bimbingan berterusan. Mia disaran untuk mendapatkan perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Namun tanpa berfikir panjang, Hasnah menyatakan hasratnya untuk terus menjaga Mia. “Tak sanggup saya, Mia membesar depan mata saya. Susah dia, senang dia, bersama saya.” Air mata yang sedia bertakung di pelupuk mata Hasnah terus tumpah. Jerih perih menjaga, merawat dan membesarkan Mia hanya Hasnah sahaja yang tahu. Atas dasar kasih dan sayang, Hasnah telah mengambil kanak-kanak istimewa ini sebagai anak angkatnya.
Kini pada tahun 2026, Mia telah berusia 18 tahun. Mia membesar dengan baik, kelihatan cukup sihat, ceria dan gembira. Namun begitu Mia tetap menjalani pemeriksaan rutin di hospital. Mia juga turut mengikuti pembelajaran di pusat pendidikan khas, tiga hari seminggu. Alhamdulillah. Tidak surut kasih sayang Hasnah buatnya. Hidupnya cukup terurus. Sungguh bertuah Mia.
Begitulah Takdir. Takdir telah tertulis yang Mia lahir tidak sempurna. Takdir juga tertulis yang Mia ditinggalkan ibu kandungnya. Takdir juga tertulis yang Hasnah ikhlas menyambutnya. Takdir kini menulis yang Mia telah membesar penuh bahagia dan sempurna bersama ibu dan ayah angkatnya. Bagaimana pula takdir yang seterusnya? Adakah suatu hari nanti akan muncul ibu, nenek atau bapa saudaranya mencari Mia kembali? Tiada siapa yang boleh menebaknya.
Apa yang pasti, dan apa yang wajar disedari. Sesungguhnya di dalam kehidupan ini. Kita sentiasa berada di dua pilihan persimpangan. Sama ada baik atau sebaliknya. Maka pilihlah! Pilihlah berdasarkan niat yang murni, pertimbangan yang wajar, akal yang waras, emosi yang tenang dan tawakkal penuh kepada tuhan. Kerana pilihan itu jualah yang akan menjadi penentu, siapa kita dan di mana kita nanti saat tiba di hujung jalan. Saat kita bertemu tuhan.
Kongsi perjalanan kesejahteraan anda dan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM2,000! Ketahui cara penyertaan di sini. T&S terpakai.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
