Misi Kemanusiaan Kemboja telah dilaksanakan setiap tahun sejak tahun 2005 lagi sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha. Pada tahun 2023, saya bersama empat orang sukarelawan telah melakukan tinjauan ke Madrasah Darul Quran, Wilayah Ratanakiri Kemboja. Ia bertujuan untuk mengadakan perbincangan dan melihat sendiri lokasi-lokasi terpilih bagi perlaksanaan aktiviti yang dirancang. Ketibaan kami di Phom Penh telah disambut oleh Ustaz Bilal yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di sana. Perjalanan kami mengambil masa selama 8 jam ke Wilayah Timur Laut Kemboja ini. Kami tiba di perkarangan madrasah pada jam 10.00 malam. Suasana senyap sunyi diselangi bunyi burung belatuk mematuk dahan dan riang rimba yang bersahut-sahutan. Terdetik juga, di manakah para pelajar madrasah? Sudah beradukah? Kelihatan empat buah rumah yang dijadikan asrama dalam keadaan gelap gelita.
Kami dipelawa untuk duduk dan berehat seketika di beranda salah sebuah rumah tenaga pengajar sebelum menunggu makan malam dihidangkan. Ustaz Bilal memaklumkan kepada kami bahawa makan malam yang bakal disajikan adalah yang paling istimewa. Kami tidak sabar untuk menikmatinya, ditambah lagi kami sekadar menjamah roti perancis sepanjang perjalanan.
Selang 15 minit kemudian, lima orang pelajar tiba dengan membawa hidangan makan malam. Kami dihidangkan dengan udang masak merah, ikan goreng, telur dadar dan salad. Sekali pandang ia umpama hidangan biasa, tetapi saat kami menjamahnya. Ya! Ia sungguh luar biasa! Terutama udang masak merah! Amat menyelerakan. Manis, pedas, masin dan masamnya. Sekata. Saya hanya mengambil sesenduk nasi, namun udang masak merah yang sentiasa ditambah oleh tuan rumah membuatkan pinggan saya hanya dipenuhi kulit udang semata-mata. Segan juga begitu, namun lagi ditolak, lagilah udang diletakkan di pinggan makan. Ya.. Bak kata orang tua – Rezeki jangan ditolak. Hihihi. Anak-anak madrasah sesekali datang melihat apa hidangan yang telah susut. Mereka segera menambahnya. Kami mempelawa juga mereka agar turut serta. Namun mereka hanya tersenyum sambil mengeleng kepala. Saya pula tak berhenti mengeleng kepala..menikmati keenakan masakan mereka.
Selesai makan, saya dan seorang sahabat sukarelawan sengaja berjalan mengambil angin malam di celah-celah pohon gajus yang tumbuh melata di sekitar madrasah. Apa tidaknya, perut yang keroncong sudah membusung. Harap-harap yang membusung ini akan menyusut. Kami mengarahkan langkah ke surau yang kelihatan suram dek hanya satu lampu terpasang di beranda surau. Tiba di beranda, kami dapati lima anak madrasah yang menyantuni kami sebentar tadi, sedang menikmati makan malam yang terhidang dalam satu dulang. Nasi telah dibahagikan mengikut bahagian masing-masing. Mereka menyuap nasi perlahan-lahan sambil tersenyum malu apabila menyedari kehadiran kami. Terdapat semangkuk sup sayur di sebelah dulang. Saya mencari-cari, mana udang masak merah? Mungkin sudah habis dimakan, tetapi mengapa nasinya tetap putih. Tiada langsung warna merah. Setitik pun tidak. Kulit udangnya? Langsung tiada kelihatan. Adakah mereka hanya makan nasi putih dan sup sayur sahaja?
…………………….
“Memang itulah makanan kami, Kak lang” Kata Ustaz Anwar sambil tersenyum, saat saya bertanya tentang menu makanan harian anak-anak madrasah merujuk kepada ‘penemuan’ semalam. Menurutnya, itulah menu mereka untuk sarapan, makan tengahari dan malam. Nasi dan sup sayur. Kerap juga, apabila sup sayur berkurangan menjelang malam, air akan ditambah agar rasa ‘sup sayur’ itu dapat dirasai oleh semua anak-anak madrasah yang seramai 50 orang itu. Jika ada lebihan dana. Dapatlah anak-anak madrasah makan telur rebus seorang sebiji sebagai hidangan istimewa di sebelah malam.
“Habis yang ustaz sediakan untuk kami semalam?”. Saya bertanya. Ustaz Anwar tersenyum, merenung jauh ke hadapan seperti tenggelam dalam fikirannya. “Itu berbeza, untuk kak lang dan kawan-kawan kami mesti sediakan makanan yang paling baik sebab tetamu wajib diraikan.” Saya memandang tepat ke arahnya, walaupun saya tahu dia tidak akan membalasnya. Terasa kurang berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pihak madrasah. Terasa sangat tidak berpuashati dengan diri sendiri kerana makan udang hingga sukar mahu berhenti. Sedangkan anak-anak madrasah hanya mampu menggigit jari. Seperti terlalu kecil untuk mereka terima seadanya. Seperti terlalu mentah untuk mereka didorong bermujahadah. Ustaz Anwar menyambung kata-katanya, seperti menjawab persoalan-persoalan yang mula bercempera namun belum berbutir suara. “Jangan risau anak-anak madrasah ini memang dilatih untuk kuat menahan dugaan. Jadi ‘Udang Masak Merah’ semalam adalah sekadar ujian. Kami ajar mereka untuk memuliakan para tetamu sehingga tetamu berpuas hati dan sudi mendoakan kami. Doa-doa para musafir itu makbul. Insya-Allah.” Ustaz tersenyum. Saya juga tersenyum. Senyum yang cukup tawar. Mungkin senyum ustaz kerana berpuashati. Namun senyumnya saya kerana mula membandingkan diri. Terasa kerdil berada di bumi yang para penghuninya berjuang mendidik hati.
(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com
Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.

Kongsi perjalanan kesejahteraan anda dan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM2,000! Ketahui cara penyertaan di sini. T&S terpakai.
Kongsi perjalanan kesejahteraan anda dan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM2,000! Ketahui cara penyertaan di sini. T&S terpakai.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.



