Dua daripada pembuat komponen storan NAND yang terkemuka, Western Digital dan juga Kioxia dijangka akan mengumumkan gabungan secara rasmi mereka sekitar bulan ini.
Pelan untuk gabungan kedua-dua buah syarikat ini bukanlah sesuatu yang baru, ia pernah diketengahkan sebelum ini, malah, perbincangan mengenainya berlaku kerana kedua-dua syarikat ini mempunyai kilang pembuatan bersama di Jepun.

Beberapa laporan mengatakan bahawa Western Digital dijangka akan memegang 51 peratus daripada saham syarikat, dengan selebihnya akan diagihkan kepada Kioxia dan juga pemilik-pemilik saham syarikat tersebut, termasuklah Toshiba dan juga SK Hynix.
Apabila dilihat pada pemegangan saham semasa, secara teknikalnya Kioxia mempunyai pegangan yang lebih besar, tetapi persetujuan daripada kedua-dua buah syarikat ini memperlihatkan bahawa Western Digital akan membeli pegangan Kioxia sehingga imbangan 51-49 dicapai.

Gabungan ini juga dilihat akan memanfaatkan kedua-dua syarikat ini dari segi pegangan pasaran pembuatan NAND secara global. Apabila gabungan ini dimeterai kelak, Western Digital dan Kioxia akan memegang 34.3 peratus pengeluaran NAND global, melangkaui Samsung yang kini memegang 31.1 peratus pasaran pengeluaran NAND.
Dalam pada itu, gabungan beberapa bank Jepun, termasuklah MUFG Bank dan Development Bank of Japan dijangka akan memberi pinjaman sebanyak $12.7 bilion untuk membolehkan gabungan ini berlaku tanpa masalah.
- Sumber
- Tom’s Hardware
