Westports dijangka kekal kukuh disokong logistik domestik & e-dagang, kata Kenanga Research

LocalBusiness & Finance
12 Dec 2025 • 11:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Westports dijangka kekal kukuh disokong logistik domestik & e-dagang, kata Kenanga Research
image is not available
liza12/12/2025 - 11:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Dis – Westports Holdings Bhd dijangka terus kukuh walaupun prospek perdagangan global mencabar, berikutan kedudukan syarikat sebagai penerima manfaat utama daripada pengalihan perdagangan dan kontrak jangka panjang yang stabil, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Westports mampu menghadapi ketidaktentuan pasaran global dengan mengurus isu kesesakan kawasan simpanan kontena secara berkesan melalui kenaikan caj penyimpanan.

 

“Langkah ini dijangka membantu syarikat menangani kesesakan kapal akibat ketegangan di Timur Tengah.

 

“Walaupun pertumbuhan perdagangan Malaysia menurun kepada 3.8% sehingga Ogos berbanding 9.2% tahun lalu, sektor logistik domestik tetap menunjukkan prestasi baik, dan negara masih mencatat lebihan dagangan sebanyak RM86.1 bilion,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Prestasi kukuh sektor logistik domestik, terutama pihak ketiga (3PL), disokong oleh peningkatan e-dagang, menjadikannya kurang terjejas oleh faktor luaran.

 

Kenanga Research menjangkakan jumlah dagangan kasar e-dagang tempatan akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7% dari 2023 hingga 2027, meningkat daripada RM1.4 trilion pada 2023 kepada RM1.9 trilion pada 2027.

 

“Bagaimanapun, syarikat tempatan masih menghadapi persaingan sengit daripada pemain logistik China yang menawarkan harga lebih rendah walaupun kos operasi meningkat, termasuk kos tenaga kerja dan peraturan had berat yang lebih ketat.

 

“Situasi ini mengehadkan keupayaan syarikat tempatan memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan perdagangan Malaysia,” katanya.

 

Firma itu berkata, strategi Westports termasuk pengurusan kesesakan dan kontrak jangka panjang akan membolehkannya mengekalkan pendapatan yang stabil.

 

“Sektor logistik domestik dijangka terus berkembang seiring dengan permintaan e-dagang dan peningkatan aktiviti perniagaan tempatan, memberikan peluang tambahan kepada syarikat tempatan untuk memperkukuh operasi,” katanya.

 

Westports Holdings Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 16 peratus kepada RM271 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, didorong oleh pertumbuhan hasil kukuh dan margin keuntungan kasar yang lebih tinggi.

 

Menurut Westports, keuntungan kasar kumpulan turut meningkat 20 peratus kepada RM454 juta berbanding RM378 juta pada suku sama tahun lalu, hasil daripada peningkatan aktiviti pengendalian kontena serta pelarasan tarif pelabuhan.

 

Pendapatan syarikat pula melonjak 31 peratus kepada RM751.99 juta daripada RM572.57 juta setahun lalu, menggambarkan pemulihan berterusan dalam perdagangan serantau serta sumbangan positif daripada pelarasan kadar caj perkhidmatan pelabuhan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, Westports mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM725 juta, meningkat 13 peratus daripada RM641 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil keseluruhan meningkat 23 peratus kepada RM2.06 bilion berbanding RM1.67 bilion sebelum ini. - DagangNews.com

Terkini standard