WFH alternatif jimat bahan api, kurangkan mobiliti pekerja

LocalBusiness & Finance
15 Mar 2026 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penggunaan petrol dan diesel secara keseluruhan dapat dikurangkan apabila pekerja tidak perlu berulang-alik setiap hari ke pejabat.

KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat semakin memberi kesan kepada ekonomi global apabila laluan minyak strategik di Selat Hormuz ditutup susulan konflik melibatkan Iran.

Laluan itu merupakan antara saluran utama perdagangan minyak dunia dan sebarang gangguan berpotensi menyebabkan lonjakan harga minyak mentah serta diesel di pasaran antarabangsa.

Kenaikan harga minyak global lazimnya memberi kesan rantaian kepada banyak negara termasuk Malaysia.

Walaupun negara mempunyai mekanisme kawalan harga dan subsidi bahan api, namun peningkatan kos minyak mentah boleh menambah tekanan kepada kewangan kerajaan serta menjejaskan kos pengangkutan serta logistik.

Dalam keadaan ini, cadangan memperluaskan amalan Work From Home (WFH) mula dibincangkan sebagai salah satu langkah mengurangkan penggunaan bahan api.

Pendekatan tersebut pernah dilaksanakan secara meluas semasa pandemik dan terbukti mampu mengurangkan mobiliti harian pekerja di kawasan bandar.

Antara rasional utama cadangan tersebut adalah mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, khususnya di bandar besar.

Apabila pekerja tidak perlu berulang-alik setiap hari ke pejabat, penggunaan petrol dan diesel secara keseluruhan dapat dikurangkan.

Pakar ekonomi berpendapat penggunaan bahan api boleh dijimatkan hingga 50 peratus sekiranya dasar bekerja dari rumah dilaksanakan secara meluas.

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, pelaksanaan WFH merupakan salah satu langkah yang boleh dipertimbangkan bagi mengimbangi impak perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.

Beliau menambah bahawa dasar berkenaan merupakan langkah jangka pendek yang boleh dilaksanakan kerajaan, dengan mengambil kira pengalaman sebelum ini ketika pandemik yang mana WFH terbukti mengurangkan kos perjalanan dan meningkatkan produktiviti dalam beberapa sektor.

Justeru, besar tanggungjawab kerajaan untuk membuat keputusan yang seimbang antara penjimatan kos bahan api, kelancaran operasi ekonomi dan kesejahteraan pekerja.

Lagipun, tidak semua sektor boleh melaksanakan WFH.

Sektor perkilangan, logistik, pembinaan, dan perkhidmatan runcit memerlukan kehadiran fizikal pekerja untuk memastikan operasi harian berjalan lancar.

Oleh itu, pengumuman rasmi mengenai pelaksanaan WFH sudah pasti ditunggu semua pihak.