WhatsApp sedang membangunkan fungsi baharu dinamakan sebagai Message Request yang bertujuan membolehkan pengguna menapis mesej daripada kenalan yang tidak dikenali. Ciri ini tidak menyekat mesej daripada dihantar sebaliknya mengawal cara mesej tersebut dipaparkan dalam aplikasi.

Melalui tetapan baharu Who Can Message Me, pengguna ditawarkan dua pilihan utama. Pilihan pertama ialah Everyone yang membenarkan mesej daripada kenalan tidak dikenali muncul dalam senarai sembang seperti biasa. Pilihan kedua, My Contacts yang memberikan kawalan lebih ketat dengan memindahkan mesej daripada nombor yang tidak disimpan ke dalam folder khas berlabel ‘Requests’.

Folder tersebut berfungsi seperti ciri di Instagram yang memisahkan mesej daripada kenalan baharu bagi mengelakkan gangguan pada paparan utama. Dalam folder ini, pengguna boleh melihat nama, gambar profil dan kandungan mesej sebelum memilih untuk membalas, memadam, melaporkan atau menyekat penghantar. Sebaik sahaja mesej dibalas, ia akan dipindahkan secara automatik ke senarai sembang utama.
Ciri ini dijangka diperkenalkan dalam kemas kini akan datang dan mungkin diberikan nama yang berbeza semasa pelancaran rasmi kelak.


