WhatsApp Mula Menguji Pelan Langganan ‘WhatsApp Plus’ Untuk Pengguna Android Terpilih

TechnologyDigital
20 Apr 2026 • 1:09 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

WhatsApp Mula Menguji Pelan Langganan ‘WhatsApp Plus’ Untuk Pengguna Android Terpilih

WhatsApp mula menguji pelan premium baharu yang dinamakan WhatsApp Plus. Pelan ini sedang diuji secara berperingkat dalam kalangan pengguna Android Beta, sambil menawarkan ciri tambahan kepada mereka yang mahukan pengalaman mesej lebih peribadi tanpa menjejaskan fungsi asas aplikasi.

Image from: WhatsApp Mula Menguji Pelan Langganan ‘WhatsApp Plus’ Untuk Pengguna Android Terpilih

Antara ciri utama yang ditawarkan dalam pelan berbayar ini termasuk akses kepada pelekat eksklusif dengan animasi overlay, pilihan menukar tema aplikasi dengan 18 warna baharu serta 14 ikon alternatif dengan rekaan kreatif. Selain itu, pengguna turut boleh menyemat sehingga 20 perbualan berbanding hanya tiga pada versi biasa di samping menikmati 10 nada dering eksklusif untuk panggilan serta menggunakan tetapan pukal bagi tema dan notifikasi pada kumpulan chat.

Image from: WhatsApp Mula Menguji Pelan Langganan ‘WhatsApp Plus’ Untuk Pengguna Android Terpilih

Dari segi privasi, tiada perubahan pada fungsi mesej, panggilan suara atau perlindungan privasi kerana penyulitan hujung‑ke‑hujung (E2EE) masih kekal sama. Ini bermakna langganan ini hanya menambah ciri tambahan tanpa menjejaskan fungsi asas, manakala harga pula bermula pada €2.49 (~RM11.57) sebulan di Eropah, PKR 229.00 (~RM3.25) di Pakistan dan $29.00 (~RM6.61) di Mexico. Ia juga berkonsepkan langganan bulanan dengan pembaharuan automatik namun boleh dibatalkan pada bila‑bila masa.

Dengan pelan ini, WhatsApp dilihat cuba memberi pengguna lebih banyak pilihan untuk menyesuaikan aplikasi mengikut citarasa masing‑masing sambil mengekalkan pengalaman asas yang kekal percuma. Buat masa ini, WhatsApp Plus hanya ditawarkan kepada sebilangan kecil pengguna Android, manakala sokongan untuk iOS dijangka menyusul kemudian.