

WHO Lapor Kematian Manusia Pertama Libat Wabak Selesema Burung H3N8
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan satu kematian pertama manusia berlaku di selatan China yang membabitkan wabak selesema burung H3N8, pada Isnin, lapor BNO News.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Wilayah Guangdong memaklumkan mangsa adalah seorang wanita berusia 56 tahun dari Bandar Zhongshan.
Difahamkan, wanita tersebut telah disahkan positif pada 26 Mac lalu dan dijangkiti selesema burung sebelum disahkan meninggal dunia.
WHO melaporkan bahawa wanita itu telah dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru yang teruk dan kemudiannya menghembuskan nafas terakhir.
“Kes itu dikesan melalui sistem pengawasan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).
“Tiada kenalan rapat dalam kes tersebut atau gejala penyakit berlaku pada masa laporan,” kata WHO.
Menurut WHO, wanita itu terdedah kepada ayam hidup di pasar sebelum dia jatuh sakit dan sampel persekitaran yang dikumpul dari pasar itu mendapati terdapat selesema burung H3.
Walau bagaimanapun, sampel yang diambil di rumahnya adalah negatif.
Kes wabak selesema burung pertama dilapor pada 2022

Setahun yang lepas, wabak selesema varian itu dilapor wujud dan disahkan dijangkiti manusia buat kali pertama.
Tidak lama selepas itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sakit tenat selepas terdedah kepada ayam dan itik liar pada April 2022.
Dia kemudiannya pulih daripada virus itu, namun dalam masa yang sama, haiwan peliharaan keluarga, anjing dan kucing juga turut dijangkiti.
Sementara itu, kes yang kedua melibatkan seorang budak lelaki berusia lima tahun dari wilayah Hunan, dijangkiti kira-kira sebulan kemudian pada Mei 2022.
Bagaimanapun dia hanya mengalami simptom ringan dan pulih dengan cepat, menurut laporan.
Difahamkan H3N8 ditemui pada haiwan burung dan kuda serta dipercayai mampu menyebabkan selesema anjing.
Justeru pada tahun ini, kes baharu di China tersebut hanyalah kes ketiga yang disahkan jangkitannya pada manusia dan yang pertama pada dewasa.
Kematian itu juga merupakan kematian pertama.
Tetapi virus tersebut juga tidak pernah disahkan dan dijangkiti pada manusia sehingga 2022.
Sesetengah penyelidik percaya bahawa strain virus sebelumnya berkemungkinan telah menyebabkan pandemik 1889, juga dikenali sebagai ‘Selesema Asia’ atau ‘Selesema Rusia’.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan berkata virus H3N8 ialah subjenis virus influenza A yang berbeza dan tiada kaitan dengan H5N1.
“Kes jangkitan virus H3N8 pada manusia ini tidak dianggap menimbulkan risiko kepada kesihatan awam AS pada masa ini,” katanya.
Sumber: WHO via BNO News
The post WHO Lapor Kematian Manusia Pertama Libat Wabak Selesema Burung H3N8 appeared first on Siakap Keli.
