WHO Suarakan Kebimbangan Dengan Prospek Penularan Wabak Polio Di Gaza

30 Jul 2024 • 10:15 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

WHO Suarakan Kebimbangan Dengan Prospek Penularan Wabak Polio Di Gaza

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan mengenai prospek penularan wabak polio dan penyakit lain di Gaza, lapor AFP.

Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, vaccine-derived type-2 poliovirus telah dikesan dalam sampel yang dikumpul dari kumbahan di Deir al-Balah dan Khan Younis di Genting Gaza pada 23 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada sampel yang diambil daripada manusia setakat ini. Jadi, tidak jelas sekiranya ada mana-mana individu di Palestin telah dijangkiti polio.

Ketua Kecemasan Kesihatan WHO untuk Palestin, Ayadil Saparbekov berkata, penjujukan genomik ke atas sampel itu telah dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat di Atlanta.

Hasilnya menunjukkan bahawa sampel tersebut mempunyai hubungan genetik yang rapat antara satu sama lain dengan sampel ditemui di Mesir pada akhir 2023.

“Kami menganggap bahawa terdapat risiko penularan yang tinggi..vaccine-derived polio virus di Gaza,” kata Saparbekov.

Krisis air dan sanitasi

Selain itu, polio bukan satu-satunya penyakit yang berisiko merebak di Gaza yang kini berdepan dengan krisis kemanusiaan yang semakin teruk.

“Saya juga amat bimbang dengan penularan wabak yang boleh berlaku di Gaza,” kata Saparbekov lagi sambil merujuk kepada ”keadaan sanitasi air yang sangat teruk”.

Oleh itu, beliau memberi amaran bahawa keadaan akan menjadi sangat sukar untuk penduduk Gaza mematuhi nasihat seperti mencuci tangan dan minum air yang bersih.

Lebih-lebih lagi ketika tinggal di kem perlindungan yang hanya memiliki sebuah tandas untuk setiap 600 orang dan bekalan air bersih yang sangat terhad.

“Dengan sistem kesihatan yang lumpuh, kekurangan bekalan air bersih dan masalah sanitasi, ia akan menjadi situasi yang sangat teruk,” ujar Saparbekov lagi.

Penjagaan kesihatan lumpuh

Menurut AFP yang memetik kenyataan WHO, ketika ini hanya terdapat 16 daripada 36 hospital di Gaza yang masih berfungsi, itu pun tidak sepenuhnya.

Sementara Saparbekov pula memberi amaran berkenaan situasi kekurangan bekalan darah, ubat-ubatan dan katil hospital.

Tambahnya sebelum 7 Oktober 2023, terdapat 3,500 katil hospital di Gaza. Bagaimanapun jumlah tersebut berkurang kepada hanya 1,532 katil hospital sahaja ketika ini.

Sumber: AFP