Wings gegar HRC KL, sepentas Kristal, Muzza & The Velvettones

LocalMusic
8 Oct 2026 • 1:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Wings gegar HRC KL, sepentas Kristal, Muzza & The Velvettones

 

KUALA LUMPUR – Band rock otai, Wings bakal menggegarkan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur (HRC KL) menerusi sambutan ke-35 lokasi ikonik itu pada 9 November ini.

Wings akan menjadi taruhan utama pada acara yang bermula pukul 9 malam, selain turut ditemani kumpulan Kristal serta Muzza & The Velvettones.

Persembahan mereka menjadi antara detik paling dinanti apabila kumpulan rock legenda itu menghidangkan deretan lagu popular yang sudah sebati dengan peminat muzik tempatan.

Pengurus Besar HRC KL, Ranjit Singh berkata, perjalanan muzik Wings serta vokalisnya, Datuk Awie mempunyai sejarah dengan perkembangan HRC KL yang sudah menjadi antara venue penting buat peminat muzik sejak 1991.

“35 tahun mewakili lebih daripada sekadar masa kerana ia adalah legasi muzik, kenangan dan generasi yang telah membesar bersama kami.

“Kami amat berbangga meraikan sejauh mana perjalanan ini telah membawa kami dan perjalanan yang masih akan diteruskan,” katanya.

HRC KL turut memilih mengabadikan memorabilia milik penyanyi rock itu sebagai penghargaan terhadap sumbangan figura berkenaan yang bukan sahaja dikenali menerusi Wings, malah mempunyai perjalanan panjang dalam industri muzik tempatan.

Selain Wings, segmen yang turut meraih tumpuan adalah kemunculan Kristal yang menghidupkan pentas dengan identiti fast-rock yang menjadi trademark mereka sejak lebih dua dekad lalu.

Kristal yang ditubuhkan pada tahun 1996 kini dianggotai Ewal selaku vokalis, Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).

Turut menyertai malam hangat itu ialah Muzza, penyanyi, penulis lagu, komposer dan gitaris yang dikenali menerusi lagu Bara Jiwa, runut bunyi asal filem Blood Brothers: Bara Naga.

Sementara itu, Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Events (RPM Events), Datuk Eddy Amir Salim berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan menguruskan acara istimewa berkenaan.

“Sambutan ini bukan sekadar ulang tahun, malah platform untuk meraikan legasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta ikon dan pemuzik tempatan yang mewarnai industri muzik selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, HRC KL turut melancarkan kemeja-T edisi terhad hasil kolaborasi bersama Wings dengan 500 helai sahaja dikeluarkan dan ditawarkan pada harga RM198 menerusi Rock Shop untuk peminat serta pengumpul memorabilia muzik.

Tiket 35 Years, One Legendary Night dijual pada harga RM219 seorang termasuk satu minuman ringan, manakala kemasukan terhad kepada pemegang tiket berusia 18 tahun ke atas.

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi HRC KL serta kelab peminat Wings, Sayap-Sayap Wings. – KOSMO! ONLINE

The post Wings gegar HRC KL, sepentas Kristal, Muzza & The Velvettones appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved