Wisma Majujaya fail petisyen gulung syarikat terhadap Bina Puri kerana gagal bayar RM30 juta

14/04/2025 - 16:49
KUALA LUMPUR 14 April - Wisma Majujaya Sdn Bhd memfailkan petisyen penggulungan syarikat terhadap Bina Puri Holdings Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas syarikat itu didakwa gagal melunaskan bayaran berjumlah RM30 juta, seperti yang telah diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.
Petisyen yang ditandatangani oleh Pengarah Wisma Majujaya, Datuk Tan Hock Kien itu menyatakan, tindakan tersebut dibuat di bawah peruntukan Akta Syarikat 2016.
"Wisma Majujaya juga memohon agar syarikatnya dilantik sebagai pelikuidasi bagi Bina Puri dan kos guaman ditanggung daripada aset syarikat terbabit," demikian menurut laporan The Edge.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari 2025, mengeluarkan penghakiman terus yang memerintahkan Bina Puri membayar RM28.17 juta bersama faedah 8% dalam tempoh 14 hari kepada Majujaya.
Bagaimanapun, Bina Puri dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia telah mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut.
Isu utama pertikaian itu membabitkan satu perjanjian usahasama (JVA) bertarikh November 2017, melibatkan pembangunan Puri Residence di Johor Bahru.
Wisma Majujaya mendakwa telah melabur RM10 juta dan Bina Puri bersetuju untuk membayar balik pelaburan berkenaan dengan pulangan sehingga RM26 juta, termasuk faedah 8% setahun jika lewat bayar.
Namun, Bina Puri menafikan wujudnya JVA yang sah dan boleh dikuatkuasakan dengan Wisma Majujaya.
Malah, syarikat itu mendakwa RM10 juta yang diberikan adalah pinjaman wang tanpa lesen.
"Perjanjian tersebut tidak menyatakan tanggungjawab pihak-pihak, pegangan ekuiti atau kaedah pembayaran secara berperingkat. Jumlah RM28.17 juta yang dituntut kebanyakannya melibatkan caj faedah, selepas Bina Puri Properties membayar balik RM7 juta," kata Bina Puri dalam satu kenyataan.
Dalam petisyen tersebut, Wisma Majujaya menyatakan walaupun Bina Puri telah memfailkan rayuan dan permohonan penangguhan, tiada arahan mahkamah dikeluarkan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman.
Malah, pada 11 Mac 2025, Wisma Majujaya melalui peguamnya Tetuan Lim Chee Wee Partnership telah menghantar notis tuntutan rasmi kepada Bina Puri untuk melunaskan bayaran dalam tempoh 21 hari.
Namun sehingga kini, Bina Puri masih gagal atau enggan membuat bayaran atau menyelesaikan tuntutan berkenaan.
Perbicaraan kes penggulungan dijadualkan pada 14 Julai 2025. - DagangNews.com
standard

