Masjid Sultan Iskandar terima pensijilan Malaysia Tourism Quality Assurance

21 Dec 2019 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JOHOR BAHRU - Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn di sini diisytiharkan sebagai masjid pelancongan pertama di negara ini.

Masjid itu menerima pensijilan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Difahamkan, pensijilan berkenaan diperoleh bagi memantapkan lagi operasi rumah ibadah berkenaan sebelum Tahun Melawat Johor dan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan.

Masjid Sultan Iskandar juga merupakan premis kedua di negeri ini yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan selepas pusat beli belah Johor Premium Outlet (JPO) di Kulai.

Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Johor Corporation (Jcorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pengiktirafan itu juga selaras dengan misi utama JCorp yang mahu Masjid Sultan Iskandar berperanan sebagai medium terbaik menyebarkan keindahan dan kefahaman syiar Islam.

“Sebagai salah satu medium penyebaran ilmu, Masjid Sultan Iskandar menyediakan Galeri An-Nur yang mempamerkan bahan mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman, intipati ajaran Islam selain fakta sejarah al-Quran, Makkah, Madinah dan Baitulmaqadis.

“Kita menjangkakan bersempena dua temasya besar yang akan berlangsung tahun hadapan, Masjid Sultan Iskandar boleh menerima kunjungan kira-kira 40,000 pelancong tempatan dan asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Kamaruzzaman berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif dengan memberikan tanggungjawab kepada petugas masjid untuk menjadi pemandu pelancong.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved