KUANTAN - Penghayatan Surah Al-Muzzammil melalui program World #QuranHour dilihat mampu memperkukuh kekuatan rohani umat Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, pemilihan surah tersebut bertujuan mengajak umat Islam memperkukuh hubungan sesama manusia dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
“Surah ini mengajak semua umat Islam untuk bermuafakat sesama kita jika ada persengketaan dan selalulah juga solat malam untuk lebih tenang.
**media[3459930]**
“Dalam kehidupan yang serba mencabar, penghayatan surah ini diharap dapat mendekatkan umat Islam kepada al-Quran dan sunnah sekali gus membentuk muslim sejati,” katanya ketika ditemui selepas program World #QuranHour di Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Isap di sini pada Rabu.
Program itu diadakan PPAP dengan kerjasama Sekretariat Rumah Ngaji Pahang yang turut hadiri, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman; Pengerusi Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Isap, Dr Sharafuddin Osman dan mantan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
Bacaan Surah Al-Muzzammil dipimpin qari daripada Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah, Muhammad Fazril Manurung manakala sesi tadabbur dibimbing Pengerusi Maahad Tahfiz Tadabbur, Mohd Alif Mahari.
Mengulas lanjut, Nor Zahira berkata, program yang memasuki penganjuran kali ke-12 itu diadakan serentak selama sejam di seluruh dunia.
**media[3459906]**
Menurutnya, penyertaan terdiri daripada jemaah masjid serta jemputan daripada komuniti setempat yang turut sama menyertai sesi tadarus dan tadabbur Al-Quran.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dengan kehadiran sekitar 400 peserta.
"Sebelum ini program diadakan di perpustakaan, namun sejak dua tahun lalu kita bawa ke masjid-masjid sekitar Kuantan bagi mendekati komuniti setempat,” jelasnya.
Beliau berkata, Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Isap adalah lokasi ketiga dipilih bagi penganjuran program tersebut selepas beberapa siri sebelum ini diadakan di masjid lain di daerah berkenaan.
“Kita merancang memperluaskan penganjuran program tersebut pada masa akan datang, termasuk kemungkinan melibatkan beberapa masjid secara serentak di seluruh daerah di Pahang,” ujarnya lagi.
**media[3459917]**
Sementara itu, Datuk Seri Abdul Rahman berkata, penghayatan Surah Al-Muzzammil benar-benar memberi kekuatan kepada umat Islam terutama dalam membina peribadi sebelum melaksanakan tanggungjawab lebih besar.
“Surah ini menguatkan jiwa kita, mendekatkan kita kepada ALLAH dan mengukuhkan iman.
"Selepas itu barulah kita boleh berdakwah dan menghadapi pekerjaan yang mencabar dan dengan kekuatan keimanan itu, ALLAH akan memberi pertolongan kepada kita,” jelas beliau.
Beliau menegaskan, program World #QuranHour wajar diteruskan dan disebarkan kepada masyarakat supaya penghayatan al-Quran menjadi panduan hidup, khususnya sepanjang bulan Ramadan.


