WOU perkukuh hubungan akademia–industri, bina bakat masa hadapan di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2025 • 4:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WOU perkukuh hubungan akademia–industri, bina bakat masa hadapan di Pulau Pinang

image is not available

01/10/2025 - 16:26

LILY Chan (empat dari kiri) bergambar selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman di kampus WOU, Pulau Pinang hari ini. Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 OktWawasan Open University (WOU) mengukuhkan peranan sebagai penghubung antara dunia akademik dan industri dengan memeterai tiga kerjasama memacu bakat masa hadapan.


Kolaborasi bersama antara institusi pembelajaran jarak jauh terbuka itu pada kali ini melibatkan satu rakan pendidikan dan dua syarikat yang berasaskan industri di Pulau Pinang sendiri.


Usaha ini melanjutkan inisiatif terdahulu bagi membangunkan bakat di semua peringkat tenaga kerja daripada operator barisan hadapan hingga pengurusan kanan melalui laluan pembelajaran fleksibel.


"Langkah tersebut turut serta sejajar dengan kehendak industri di pasaran semasa, sekali gus membawa kepada kelayakan akademik dan profesional yang diiktiraf," kata WOU dalam kenyataan.


Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu diadakan di kampus utama WOU di Pulau Pinang dengan ia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Naib Canselornya, Prof Dr Lily Chan.


Tiga pihak yang terlibat bersama ialah Fourier TVET Centre, MI Equipment Sdn Bhd dan 3REN Berhad, dengan majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.


Kata kenyataan itu, melalui jaringan kerjasama ini, WOU menegaskan komitmennya untuk bersama-sama dalam membangunkan aliran bakat dengan pemain utama industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang.


"Langkah ini membuka peluang luas menangani jurang kemahiran kritikal serta menyokong pertumbuhan sektor elektrik & elektronik (E&E), semikonduktor, automasi dan teknologi perubatan," katanya.


Sementara itu, Chan ketika berucap menekankan kolaborasi ini mencerminkan peranan WOU dalam memperkukuhkan ekosistem akademia–industri–kerajaan bagi melahirkan aliran bakat yang mampan.


Perkembangan tersebut tambah beliau, seterusnya menjamin pula pertumbuhan jangka panjang negeri berkenaan dalam sektor teknologi kritikal serta mampu meningkatkan tahap daya saing global.


“Sebagai ‘Silicon Valley of the East’, Pulau Pinang memerlukan institusi pendidikan seperti WOU memainkan peranan penting dalam membentuk landskap bakat serantau," jelas beliau lagi.


WOU memastikan industri memiliki kemahiran tinggi untuk berinovasi, berkembang dan bersaing di peringkat global serta menyokong agenda ekonomi digital negara selari pelbagai pelan kebangsaan.


Dalam pada itu, Lee Lian menegaskan kolaborasi ini merupakan perkembangan penting memperkukuh ekosistem pembangunan bakat negeri itu, dan mengangkat kedudukan sebagai hab pembuatan serantau.


Beliau menambah, model pembelajaran fleksibel WOU memberi peluang pekerja meningkatkan kemahiran tanpa menjejaskan kerjaya, di samping membolehkan syarikat dalam memperkasa semua peringkat.


“Usaha sama ini bukan sahaja tepat pada masanya, malah penting untuk membangunkan bakat di negeri ini, selaras dengan kerangka Pelan Induk Bakat Pulau Pinang di peringkat pascamenengah," katanya.


Matlamat inisiatif itu memupuk pembelajaran sepanjang hayat melalui pendekatan proaktif dalam meningkatkan kemahiran, agar bakat muda terus relevan dalam pasaran pekerjaan. - DagangNews.com

standard

View Original Article