WordPress merupakan enjin blog yang menguasakan sekitar separuh daripada laman-laman web yang kini aktif di dunia, dan Amanz merupakan salah satu daripadanya. Jika anda seorang pembangun laman web, dan mengikuti perkembangan WordPress, anda pastinya tahu bahawa untuk beberapa minggu yang lalu, dua daripada platform terbesar WordPress, iaitu Automattic dan WP Engine telah terlibat dalam satu pertelagahan atas talian.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa WP Engine, sebuah parti ketiga hos enjin blog WordPress telah menyaman Automattic, syarikat pemilik enjin blog tersebut dan juga Matt Mullenweg, pencipta enjin blog tersebut.

Bagi meringkaskan penceritaan; untuk sekian lamanya, Matt Mullenweg telah meminta WP Engine untuk membantu dalam pembangunan enjin WordPress, dan sewaktu acara WordCamp US 2024 beberapa minggu yang lalu, telah mengatakan bahawa WP Engine merupakan satu barah kepada masa hadapan WordPress kerana keengganan mereka untuk membantu dalam pembangunannya.
Secara teknikalnya, kedua-dua Automattic dan WP Engine merupakan dua syarikat hos WordPress terbesar di dunia sekarang, dengan WP Engine menerima suntikan dana sebanyak $250 juta oleh syarikat ekuiti Silver Lake pada tahun 2018.
Sewaktu acara tersebut, Matt Mullenweg mengatakan bahawa terdapat perbezaan ketara diantara kedua-dua syarikat ini apabila dibandingkan masa yang diluangkan untuk pembangunan teknologi platform WordPress, dimana Automattic meluangkan masa sebanyak 3900 jam seminggu, dan dimana WP Engine hanya meluangkan sebanyak 40 jam dalam jangka masa yang sama.

Permintaan Matt kepada WP Engine sebelum ini dilihat telah diendahkan oleh syarikat tersebut, dan ini menyebabkan Matt mengeluarkan hantarannya tersebut. Setelah seminggu bertelagah di media sosial, WP Engine telah mengeluarkan arahan C&D (cease & desist) kepada Matt Mullenweg, dimana pemilik enjin blog tersebut mengeluarkan arahan C&D mereka sendiri dan mengarahkan WP Engine berhenti menggunakan tanda dagang WordPress secara sewenang-wenangnya.
Oleh kerana ini, pihak WP Engine mengeluarkan saman terhadap Automattic dan Matt Mullenweg dengan mengatakan bahawa Matt kini tidak membenarkan syarikat-syarikat seperti mereka untuk menggerakkan perniagaan mereka dengan menggunakan enjin sumber terbuka WordPress tanpa halangan, khususnya apabila pihak Automattic menghalang akses kepada sumber-sumber WordPress seperti plug-in, API dan tema-tema percuma WordPress dari 25 September ke 1 Oktober 2024.

Saman tersebut, yang difailkan di mahkamah California juga mengatakan bahawa Matt Mullenweg juga tidak berkata benar tentang pegangan beliau didalam WordPress.org dan juga WordPress Foundation.
Baru-baru ini juga, Automattic dilihat telah memperlihatkan satu hantaran yang mengatakan bahawa mereka meminta WP Engine untuk membayar lapan peratus daripada pendapatan tahunan mereka ataupun memberi sedikit tenaga kerja mereka untuk membantu dalam pembangunan enjin blog WordPress untuk tujuh tahun akan datang, tetapi perkara ini nampaknya telah diendahkan oleh WP Engine.
Perbalahan diantara Automattic dan WP Engine ini dilihat sebagai sangat aneh dan merisaukan, khususnya kerana kedua-dua syarikat ini merupakan hos-hos enjin blog WordPress terbesar di dunia.

![“Tinggi Ilmu Uncle Ni” – Lelaki Boleh Arah Burung Merpati Terbang & Patah Balik, Raih Perhatian [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)