WTEC Group meterai perjanjian jualan buih poliuretana dengan syarikat dari China

LocalBusiness & Finance
31 Dec 2025 • 9:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WTEC Group meterai perjanjian jualan buih poliuretana dengan syarikat dari China
image is not available
liza31/12/2025 - 09:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Dis – WTEC Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, WTEC Sdn Bhd memeterai Perjanjian Rangka Kerja Jualan dengan GuangDong ShiFeng New Materials Co Ltd bagi pembelian dan pembekalan bahan buih poliuretana.

 


Poliuretana ialah sejenis bahan buatan sintetik yang biasa digunakan untuk menghasilkan buih, salutan dan bahan penebat terutamanya dalam industri automotif, elektrik dan elektronik, perabot serta pembinaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, WTEC Group berkata perjanjian tersebut dimeterai pada 30 Disember 2025 dan akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026, dengan lanjutan automatik selama setahun sekiranya tiada bantahan dikemukakan oleh mana-mana pihak.

 

GuangDong ShiFeng New Materials Co Ltd merupakan anak syarikat milik penuh Jiangsu ChengFeng New Materials Co., Ltd yang berpangkalan di Guangdong, China dan terlibat dalam pembuatan buih poliuretana.

 

“Di bawah perjanjian itu, semua spesifikasi produk termasuk harga, kuantiti dan kaedah penghantaran akan ditentukan berdasarkan dokumen bertulis yang dipersetujui bersama, termasuk pesanan pembelian yang dikeluarkan oleh WTEC.

 

“Sekiranya harga tidak dinyatakan secara khusus dalam pesanan pembelian, harga akan ditentukan berdasarkan sebut harga yang dipersetujui kedua-dua pihak. 

 

“Penghantaran produk pula akan dibuat mengikut terma yang dipersetujui, dengan risiko kerugian atau kerosakan berpindah kepada WTEC selepas penghantaran kepada syarikat yang ditetapkan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pembayaran akan dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh pengeluaran bil muatan oleh pihak syarikat pengangkutan tertakluk kepada pengeluaran dokumen komersial dan invois berkaitan.

 

Lembaga pengarah WTEC Group berpandangan perjanjian ini akan membolehkan kumpulan itu membekal dan mengedar bahan buih poliuretana teknikal yang dibangunkan bersama untuk aplikasi automotif serta elektrik dan elektronik di rantau ASEAN.

 

Perjanjian ini juga dijangka dapat melengkapkan rangkaian produk sedia ada WTEC Group dan menyokong pengembangan syarikat ke dalam segmen pasaran bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan daya saingnya dalam industri.

 

Dari segi kewangan, perjanjian ini tidak dijangka memberi kesan kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau struktur modal kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan sepanjang tempoh perjanjian. - DagangNews.com

Terkini standard