Wujud Mekanisme Pulang SARA RM100, Fokus Naik Taraf Sistem Kesihatan & Pendidikan

LocalPolitics
23 Jul 2025 • 4:34 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mencadangkan agar kerajaan mewujudkan mekanisme bagi membolehkan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang tidak memerlukan bantuan tersebut memulangkannya semula kepada kerajaan.

Beliau berkata, dana yang terkumpul hasil pemulangan itu boleh dimanfaatkan untuk perkara yang lebih mendesak melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan.

Menurut beliau, antara keutamaan yang wajar diberikan ialah mempercepatkan rawatan elektif melibatkan lebih 15,000 pesakit di hospital kerajaan yang kini perlu menunggu sehingga 21 bulan untuk mendapatkan rawatan.

“Daripada belanja duit untuk langkah populis kepada golongan yang mungkin tidak memerlukan, bukankah lebih baik digunakan untuk bantu rakyat yang benar-benar memerlukan dan naik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

image is not available

Wujud Mekanisme Pulang SARA RM100

Selain sektor kesihatan, Wee turut mencadangkan agar dana itu disalurkan sebagai biasiswa kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh semua A, serta lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan PNGK cemerlang yang masih gagal mendapat tempat dalam program pengajian pilihan mereka di kolej matrikulasi atau universiti awam.

image is not available

Beliau turut menyatakan kesediaannya menjadi individu pertama yang memulangkan bantuan tersebut jika kerajaan memperkenalkan mekanisme yang sesuai.

“Saya percaya PMX, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, semua menteri kabinet dan ramai ahli-ahli Parlimen serta ADUN juga akan sanggup melepaskan bantuan SARA RM100 mereka demi rakyat. Saya orang pertama akan salurkan.”

“Satu solusi win-win – rakyat boleh pilih, kerajaan pun menang!” katanya.

image is not available

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa ikhtiar bagi meringankan beban sara hidup yang menjadi sebahagian penghargaan dan usaha meraikan rakyat.

Antara indikator yang dikemukakan adalah pemberian SARA untuk semua, di mana sempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

image is not available

Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bagi program STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun 2025 .

Ia sekali gus merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.

Sumber: FB Wee Ka Siong