SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan menilai kewajaran mewujudkan satu mekanisme pampasan mandatori atau 'Diat' dalam kes kemalangan akibat kecuaian serius bagi memberikan keadilan buat mangsa dan ahli keluarga.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, apabila nyawa melayang, hukuman terhadap pesalah tidak mampu mengembalikan anak kepada ibu, suami kepada isteri bahkan ayah kepada anak-anak.
"Keluarga mangsa bukan sahaja kehilangan insan tersayang, malah sering berdepan tekanan kewangan, emosi dan masa depan yang tidak menentu.
"Di sinilah kita perlu melihat keadilan dalam dimensi yang lebih menyeluruh. Dalam Islam, terdapat konsep 'Diat' iaitu pampasan yang wajib diberikan kepada mangsa atau waris dalam kes kecederaan mahupun kematian.
"Konsep ini bukan sekadar hukuman, tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial dan keadilan kepada pihak yang terkesan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Azli berkata, 'Diat' mengiktiraf bahawa setiap kehilangan mempunyai nilai yang perlu diganti dan bukan untuk 'membeli nyawa', sebaliknya ia demi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa.
Jelasnya, konteks tersebut meletakkan keseimbangan antara hukuman kepada pesalah dan pembelaan terhadap mangsa.
"Saya sendiri pernah membangkitkan hukuman 'Diat' ini di Parlimen ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 2024.
"Sistem keadilan kita tidak seharusnya tertumpu kepada menghukum pesalah sahaja, tetapi juga mesti memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.
"Sudah tiba masanya untuk kita menilai semula secara serius pendekatan sedia ada. Adakah wajar diwujudkan satu mekanisme pampasan mandatori? Adakah keluarga mangsa perlu terus bergantung kepada proses sivil yang panjang dan memakan kos untuk menuntut keadilan?" soalnya.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu berkata, undang-undang terhadap kesalahan kemalangan jalan raya akibat kecuaian yang disengajakan sememangnya wujud dan semakin diperketatkan di negara ini.
"Hukuman yang dikenakan juga bukan ringan. Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memperuntukkan penjara 10 tahun hingga maksimum 15 tahun bagi kesalahan pemanduan mabuk menyebabkan kematian. Denda RM50,000 hingga RM100,000 malah lesen digantung 10 tahun.
"Hukumannya lebih tinggi daripada Seksyen 41 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya. Dalam keadaan tertentu, lebih keras daripada Seksyen 304 Kanun Keseksaan bagi kesalahan jenayah.
"Namun, sama ada di bawah Seksyen 41 dan 44 Akta 333 mahupun Seksyen 304 Kanun Keseksaan, semuanya menumpukan kepada menghukum pesalah," ujarnya.
