Polis Johor terima 244 laporan libatkan Zakir Naik

20 Aug 2019 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JOHOR BAHRU - Polis Johor telah menerima sebanyak 244 laporan polis yang melibatkan pendakwah Dr Zakir Naik di Johor, setakat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya tidak akan membenarkan pendakwah itu untuk mengadakan program di negeri ini kerana tidak mahu beliau mencetuskan kontroversi sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Bagaimanapun, keputusan penuh untuk membenarkan program yang melibatkan Zakir tertakluk kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Di peringkat polis, kita akan memberi nasihat yang sewajarnya dari sudut keselamatan kepada pihak JAINJ.

“Oleh itu, kita akan pastikan apa jua agenda yang menjurus ke arah menjaga keharmonian masyarakat diteruskan. Kita tidak mahu ada unsur-unsur yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama,” kata beliau ketika ditanya mengenai sama ada polis Johor akan mengikuti jejak polis Melaka yang tidak membenarkan Zakir berceramah di negeri ini.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor daripada beliau kepada Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu Datuk Shafie Ismail.

Selain itu, Mohd Kamarudin berkata setakat ini, tiada pihak yang membuat permohonan untuk mengadakan ceramah melibatkan pendakwah itu di negeri ini. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved