WWF Malaysia Gesa Laluan Selamat Hidupan Liar Dipercepatkan

LocalEnvironment
3 Jul 2026 • 4:13 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

WWF Malaysia Gesa Laluan Selamat Hidupan Liar Dipercepatkan

WWF Malaysia Gesa Laluan Selamat Hidupan Liar Dipercepatkan

Susulan insiden seekor anak gajah maut dirempuh kenderaan di Jalan Felda Nitar, Mersing kelmarin, WWF Malaysia menggesa pelaksanaan laluan selamat hidupan liar di kawasan berisiko dipercepatkan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Dalam satu kenyataan, WWF Malaysia berkata jalan raya kini semakin menjadi ancaman utama kepada hidupan liar selain turut membahayakan pengguna jalan raya.

Menurutnya, langkah seperti pembinaan koridor khas hidupan liar, terowong mesra alam dan jejambat lintasan haiwan perlu disegerakan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Struktur seperti ini membolehkan haiwan melintas jalan dengan lebih selamat dan penting untuk mengekalkan laluan migrasi gajah.

Baca juga:

“Langkah itu juga penting bagi memperkayakan habitat serta meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan hutan,” katanya.

WWF Malaysia berkata, kejadian terbaharu itu bukan sahaja mengorbankan seekor anak gajah, malah menyebabkan seorang pemandu cedera parah serta kerosakan harta benda.

Menurut kenyataan itu, insiden tersebut turut menyaksikan seekor ibu gajah setia berada di sisi anaknya yang cedera parah sebelum tindakan lanjut diambil pihak berkuasa.

Katanya, situasi itu mengingatkan semula kepada tragedi pada Hari Ibu tahun lalu apabila seekor anak gajah maut dirempuh lori di Lebuhraya Gerik-Jeli, insiden yang ketika itu meruntun hati rakyat Malaysia.

“Ini bukan kejadian terpencil, sebaliknya sebahagian daripada corak kejadian yang semakin membimbangkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, WWF Malaysia berkata pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

Menurutnya, inisiatif meja bulat berkaitan jalan raya lebih selamat untuk manusia dan hidupan liar telah dimulakan sejak Julai 2025 bagi merangka tindakan lebih menyeluruh.

WWF Malaysia turut menegaskan perlindungan hidupan liar bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pengguna jalan raya.

Katanya, pemandu disaran mematuhi had laju, sentiasa berwaspada dan memberi perhatian terhadap papan tanda lintasan haiwan terutama pada awal pagi dan waktu senja ketika hidupan liar lebih aktif bergerak.

Selain itu, WWF Malaysia turut mencadangkan penguatkuasaan lebih ketat di kawasan berisiko tinggi termasuk pemasangan papan tanda tambahan, langkah pengurangan kelajuan serta penggunaan sistem amaran pintar bagi mencegah kejadian sama berulang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved