Wyndham Acmar Klang Catat Rekod Malaysia, Anjur Perhimpunan Berbuka Puasa Terbesar Di Hotel 

LocalFood
18 Mar 2026 • 8:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Dalam kemeriahan meraikan Ramadan yang hampir sampai ke penghujung, Wyndham Acmar Klang mencatat pencapaian bermakna apabila memahat nama dalam Buku Rekod Malaysia (MBR).

Ia susulan kejayaan hotel tersebut menganjurkan bufet berbuka puasa terbesar, melibatkan 1,770 pengunjung semalam. 

Acara dikenali sebagai ‘Santapan Jalur Sutera’ itu diinspirasikan daripada Laluan Sutera di China, dan ia menghimpunkan lebih 1,000 hidangan.

Ia menawarkan perjalanan kulinari merangkumi Malaysia, Asia Barat dan Asia Tengah, yang dihidangkan di pelbagai stesen masakan untuk menampung kehadiran orang ramai.

Susulan kejayaan, plak rasmi MBR turut disampaikan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Acmar, Joshua Tee.

image is not available

Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan dedikasi seluruh pasukan dan sokongan padu daripada tetamu dan rakan korporat mereka.

“Adalah sungguh bermakna melihat keluarga, rakan-rakan dan organisasi berkumpul dalam perhimpunan yang begitu besar untuk berkongsi semangat Ramadan,” katanya. 

Jelas Tee, penganjuran acara berkenaan memerlukan penyelarasan meluas antara pasukan kulinari dan perkhidmatan bagi memastikan kelancaran operasi.

Katanya, ia adalah susulan daripada pertumbuhan stabil syarikat, yang secara konsisten menjadi tuan rumah kepada lebih 1,000 pengunjung setiap malam sepanjang 2024 dan 2025.

“Tahun ini menyaksikan peningkatan permintaan yang lebih tinggi, dengan kehadiran setiap malam kerap antara 1,400 dan 1,700 tetamu,” katanya. 

Wyndham Acmar Klang juga diiktiraf sebagai Tempat ASEAN MICE 2024–2026 dalam kategori Bilik Mesyuarat, mengukuhkan kedudukannya sebagai lokasi utama untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran. - Getaran, 18 Mac 2026