Minggu lalu X mula memaparkan logo xAI dalam aplikasi secara lebih ketara bagi menggalakkan lagi penggunaan pembantu maya Grok. Turut diperkenalkan pada waktu yang sama ialah ciri menerangkan konteks ciapan yang dihantar. Kami sedari butang xAI akan muncul pada bucu kanan atas aplikasi pada ciapan tertentu sahaja dengan ini dilakukan secara rawak.

Apabila butang ini ditekan, Grok akan memberikan konteks ciapan menggunakan beberapa perenggan pendek. Seterusnya ia juga memberikan pautan ke laman web yang dijadikan sumber untuk menjelaskan konteks.
Berdasarkan pengamatan kami, Grok boleh memberikan konteks untuk ciapan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu walaupun dalam bentuk gambar.. Sungguhpun begitu jawapan yang diberikan tidak selalunya tepat. Sebagai contoh, pautan ke laman web yang dijadikan sumber kerap kali langsung tidak berkaitan dengan konteks sebenar ciapan. Kami merasakan dari sudut ini ChatGPT, dan Gemini adalah jauh lebih baik.


