KUALA LUMPUR - Proses nyah cemar di tiga depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Semenyih, Sepang dan Bukit Jalil telah dilaksanakan pada Mac lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Menurutnya, proses sanitasi nyah cemar turut dibuat di pusat tahanan di balai polis dan penjara di seluruh negara.
"Proses nyah cemar ini akan dilakukan semula selepas keadaan di depot berkenaan kosong sebelum dihuni oleh tangkapan baharu.
"Bagaimanapun sebarang tindakan nyah cemar bakal dibuat berdasarkan arahan selanjutnya dari pihak Imigresen dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tetap fokus kepada proses nyah cemar di semua depot tahanan berkenaan sebelum PKP dilaksanakan sehingga kini.
Mohammad Hamdan berkata, perkara paling penting adalah memastikan setiap kawasan yang dibuat proses nyah cemar benar-benar bersih selain memastikan penularan dan penyebaran wabak pandemik itu dapat diputuskan.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seramai 227 kes positif koronavirus (Covid-19) dikesan di tiga kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) membabitkan bukan warga negara Malaysia.
Mohammad Hamdan hari ini meninjau penugasan pegawai dan anggota JBPM di Plaza Tol Sungai Besi sempena Operasi Lancar (Op Lancar) yang bermula pada 21 Mei lalu sehingga hari ini dengan menempatkan 12 anggota bomba di tujuh tol lebuhraya melibatkan tol Kampung Hutan, Kedah, tol Juru, Pulau Pinang, tol Jalan Duta, tol Gombak, tol Gambang, tol Sungai Besi dan tol Skudai, Johor.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, kesemua anggota bomba yang ditugaskan semasa penularan Covid-19 telah menerima elaun khas yang disalurkan oleh kerajaan.
Katanya, hanya elaun bulan Mei masih menunggu proses tuntutan daripada Kementerian Kewangan.
"Setakat ini semua yang terlibat melaksanakan tugas semasa Ops Covid-19 ini mereka layak untuk membuat tuntutan dan tuntutan ini untuk bulan Februari, Mac dan April sudah diterima dan cuma bulan Mei kita tunggu tuntutan selanjutnya," katanya.

