Xbox membuang 650 lagi kakitangan dalam proses untuk mengatur semula perniagaan dan memastikan kejayaan jangka panjang. Pengumuman ini dilakukan hanya beberapa bulan selepas Xbox membuang 1900 kakitangan dan menutup beberapa studio yang dilihat tidak menguntungkan. Antara yang menjadi mangsa ialah Arkane Texas dan Tango Gameworks.

Walaupun semakin ramai kakitangan dibuang, ketua Xbox Phil Spencer mengatakan tiada permainan akan dibatalkan dan tiada lagi studio akan ditutup. Selepas dibenarkan meneruskan pengambil alihan Activision Blizzard pada Oktober tahun lalu, ramai kakitangan perlu dibuang bagi mengelakkan pertindihan tugas.
Tahun 2024 ialah tahun yang tidak begitu memberangsangkan untuk industri permainan video kerana ribuan pekerja telah dibuang disebabkan oleh jualan tidak mencapai sasaran, dan keperluan mengurangkan tenaga kerja pasca pandemik.
