liza30/07/2026 - 11:17 Dari kiri: Pengarah Operasi dan Pengurusan ICP, Technology Depository Agency Berhad (TDA), Jefiena Jaafar: Ketua Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan, Prasarana Malaysia Berhad, Zaki Mohamad; Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Prasarana Malaysia Berhad, Dr. Harigaran Bharatham; Wakil Kontraktor, Konsortium Alstom Hartasuma (AHC), Sim Ooi Kok dan Ketua Pegawai Eksekutif, Xcel Itech Sdn. Bhd., Ir. Badrul Hisham Abdul Kahar di Majlis Penyerahan Sijil Serahan Simulator Pemanduan Tren KLAV27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – XCEL ITECH Sdn Bhd membangunkan dan menyerahkan Simulator Pemanduan Tren KLAV27, iaitu simulator latihan rel kolaboratif pertama di Malaysia kepada Prasarana Malaysia Berhad bagi memperkukuh latihan pengendali rel, keselamatan serta kesiapsiagaan operasi.
Sistem KLAV27 membolehkan beberapa pelatih menjalani latihan operasi tren secara bersama dalam persekitaran maya yang realistik sebelum mengaplikasikan kemahiran mereka dalam operasi rel sebenar.
Berbeza dengan sistem latihan konvensional yang lebih tertumpu kepada latihan individu, simulator baharu itu membolehkan beberapa pengendali berinteraksi dalam satu persekitaran simulasi yang sama bagi menguji keupayaan mereka mengendalikan pelbagai situasi operasi.
Melalui platform tersebut, pelatih akan berhadapan dengan pelbagai situasi seperti pergerakan tren yang diselaraskan, gangguan sistem serta tindak balas kecemasan dalam keadaan yang selamat dan terkawal.
Tingkatkan Keupayaan Latihan Operasi Rel
Ketua Pegawai Eksekutif XCEL ITECH Sdn Bhd, Ir. Badrul Hisham berkata, pembangunan simulator itu bukan sekadar penyerahan sebuah sistem latihan, sebaliknya membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam membangunkan teknologi rel berteraskan keperluan operasi sebenar.
Beliau berkata, projek berkenaan membuktikan syarikat Malaysia mempunyai bakat, kepakaran teknikal serta keupayaan untuk menghasilkan penyelesaian teknologi rel termaju.
“Kami bukan sekadar menyerahkan sebuah simulator. Kami menyerahkan satu keupayaan baharu negara, membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan baharu dan mencipta satu lagi lembaran penting dalam sejarah industri rel Malaysia.
“Simulator KLAV27 memberi peluang kepada industri rel tempatan untuk memperkukuh latihan tenaga kerja menerusi teknologi simulasi yang lebih moden dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Simulator berkenaan diserahkan kepada Prasarana di Kompleks Rapid Rail Subang menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) yang bertujuan menggalakkan pemindahan teknologi, pembangunan industri tempatan serta pembinaan keupayaan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan pemain industri.
Penggunaan teknologi berkenaan juga dapat membantu meningkatkan tahap kompetensi pengendali, selain menyokong usaha menambah baik keselamatan dan kecekapan operasi rel.

Simulasi Laluan Kelana Jaya Secara Maya
Simulator KLAV27 dibangunkan untuk menghasilkan semula operasi Laluan Kelana Jaya sepanjang 46.4 kilometer yang merangkumi kesemua 37 stesen serta sebuah depoh.
Dengan simulasi berasaskan laluan sebenar, Prasarana dapat menyediakan latihan yang lebih hampir dengan keadaan operasi kepada tenaga kerjanya.
Sistem itu turut membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan dalam kalangan pengendali, khususnya ketika berdepan situasi luar jangka yang memerlukan tindakan pantas dan tepat.
Pembangunan simulator tersebut melibatkan kerjasama antara Konsortium Alstom Transport Systems Malaysia Sdn Bhd dan Hartasuma Sdn Bhd (AHC), Technology Depository Agency Berhad (TDA), Prasarana Malaysia Berhad serta XCEL ITECH Sdn Bhd.
Kerjasama itu mencerminkan usaha bersama dalam membangunkan teknologi tempatan serta memperkukuh ekosistem industri rel Malaysia melalui inovasi dan pemindahan pengetahuan.
Sokong Transformasi Digital Industri Rel
XCEL ITECH merupakan syarikat teknologi Malaysia yang khusus dalam sistem simulasi canggih, penyelesaian digital dan platform teknologi bersepadu untuk sektor pengangkutan serta infrastruktur kritikal.
Syarikat itu menyediakan penyelesaian teknologi yang menyokong latihan, kesiapsiagaan operasi dan transformasi digital dalam sektor pertahanan, keselamatan, pendidikan serta pengangkutan.
Pembangunan KLAV27 selari dengan usaha memperkenalkan penggunaan teknologi simulasi dalam industri rel bagi memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi perkembangan operasi masa hadapan.
Menerusi projek berkenaan, XCEL ITECH turut membuktikan kemampuan syarikat tempatan menghasilkan teknologi berimpak tinggi yang memenuhi piawaian industri dan keperluan pengguna.
Simulator latihan rel kolaboratif pertama Malaysia itu dijangka menjadi platform penting dalam mempertingkatkan standard latihan, keselamatan serta kecekapan operasi rel negara. - DagangNews.com
