Xi Jinping harap '50 tahun emas' lagi hubungan China-Malaysia

LocalPolitics
16 Apr 2025 • 6:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Xi Jinping harap '50 tahun emas' lagi hubungan China-Malaysia

image is not available

16/04/2025 - 18:26

KUALA LUMPUR 16 April - Presiden China, Xi Jinping yang berada di Malaysia untuk lawatan negara selama tiga hari, berhasrat mengukuhkan persahabatan tradisional China-Malaysia, meningkatkan kepercayaan politik dan memajukan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan bersama.

Beliau berkata, sepanjang lawatannya, beliau akan bertukar pandangan secara mendalam bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hubungan dua hala serta isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.

“Saya yakin dengan usaha bersama kita, lawatan ini akan membawa hasil yang sangat baik.

“Bersama-sama, kita akan membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan kejiranan yang baik dan kerjasama saling menguntungkan, dan memulakan satu lagi tempoh 50 tahun emas dalam hubungan China-Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan China di Kuala Lumpur, hari ini.

Xi turut menyatakan kegembiraannya kerana dapat kembali ke Kuala Lumpur bagi lawatan negara atas jemputan Sultan Ibrahim.

“Dua belas tahun lalu, saya telah mengadakan lawatan negara pertama saya ke Malaysia dan membawa pulang kenangan yang sangat menarik dan indah.

“Kembali semula ke sini hari ini benar-benar menghangatkan hati saya. Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin mengucapkan salam mesra dan doa terbaik kepada kerajaan serta rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menggambarkan China dan Malaysia sebagai jiran yang baik dan dihubungkan oleh laut serta berkongsi persahabatan tradisional yang terjalin sejak sekian lama.

“Selama lebih setengah abad sejak kita memulakan hubungan diplomatik, kedua-dua negara sentiasa menghormati satu sama lain, saling melayani secara setara dan menikmati kerjasama yang saling menguntungkan, sekali gus menjadi contoh baik bagi hubungan antara negara.

“Pada 2023, kita telah mencapai kata sepakat penting untuk membina komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan bersama.

“Tahun lalu, kita juga meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. China dan Malaysia merupakan negara membangun utama dan anggota dari Global South.

“Mengukuhkan kerjasama strategik pada tahap tertinggi ini adalah demi kepentingan bersama China dan Malaysia, serta baik untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan dunia,” kata Xi.

Pesawat khas yang membawa Presiden China dan delegasinya telah mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 6.48 petang, semalam.

Presiden China itu disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - DagangNews.com

standard